ISN Mahu Kaji Punca Khairul Gagal Kekal Rentak Larian - Sukan Ekstra | mStar

ISN Mahu Kaji Punca Khairul Gagal Kekal Rentak Larian

Diterbitkan: Khamis, 21 Julai 2016 4:56 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Penurunan prestasi Khairul Hafiz Jantan dalam aksinya di perlumbaan separuh akhir ketiga 100 meter Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Poland awal pagi Khamis, nyata meresahkan Institut Sukan Negara (ISN).

Malah Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr Mohd Khairi Zawi berkata kegagalan Khairul Hafiz mengekal rentak larian dengan hanya mencatat 10.58 saat hari ini daripada 10.44s sewaktu peringkat saringan, perlu dikaji punca sebenarnya.

"Catatan 10.44s adalah masa yang baik terutamanya di peringkat antarabangsa.

Namun saya lebih tertarik untuk tahu kenapa Khairul Hafiz tidak dapat kekalkan momentum dengan catatan 10.44s atau lebih baik," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Kementerian Belia dan Sukan, di sini.

Khairul Hafiz gagal ke peringkat akhir acara 100m selepas menduduki tempat kelapan, sekali gus tidak dapat mengatasi pencapaian jaguh pecut negara, Azmi Ibrahim yang turut sekadar mara ke separuh akhir kejohanan sama edisi 1994.

Seorang lagi pelari negara yang juga juara Sukan Sekolah-sekolah ASEAN, Badrul Hisyam Abdul Manap gagal melepasi peringkat saringan apabila menduduki tempat kelima saringan keempat dengan catatan 10.66s.

Khairi juga tidak menolak kemungkinan punca atlet pecut negara mempamerkan aksi hambar adalah disebabkan faktor ketetapan matlamat.

"Apa yang saya boleh katakan Poland bukan keutamaan mereka pada awalnya, sekali gus menjurus kepada kelewatan penetapan matlamat.

"Bila ada keputusan pada saat akhir, ini mungkin memberi satu kesan kepada prestasi mereka," katanya. 

Sebelum ini, kedua-dua atlet berkenaan telah menolak untuk beraksi di Poland kerana memilih temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Khairul Hafiz Jantan , Poland , 100 meter
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan