Brazil Janji Lakukan Terbaik - Duta

Diterbitkan: Jumaat, 1 Julai 2016 11:31 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Brazil berjanji akan melakukan yang terbaik bagi memastikan keselamatan atlet dan pengunjung semasa Sukan Olimpik Rio de Janeiro, dari 5 hingga 21 Ogos ini.

Selepas berjaya mengurangkan jangkitan virus Zika dengan penurunan 87 peratus antara Februari dan Mei tahun ini, isu keselamatan serta masalah kewangan akan menjadi perhatian utama negara tuan rumah Sukan Olimpik pertama di benua Amerika Selatan itu, dengan hanya 36 hari lagi sebelum majlis perasmian.

Bagaimanapun, Menteri Kaunselor Kedutaan Brazil di Malaysia, Daniel Falcon Lins yakin pihak berkuasa akan mengambil segala langkah yang perlu agar Sukan Olimpik Rio berlangsung aman, selepas kejayaan penganjuran Piala Dunia FIFA 2010.

"Kami bekerjasama dengan semua negara terlibat termasuk Malaysia mengenai keselamatan semasa Sukan Olimpik. Pihak polis kami sentiasa berhubungan dengan rakan-rakan mereka di seluruh dunia. Anggota keselamatan yang mencukupi akan dikerahkan dengan kerjasama peringkat tertinggi di antara semua pasukan keselamatan dengan sistem yang sangat bersepadu.

"Di bandar Rio, kita mempunyai pusat arahan keselamatan bersepadu yang akan mempunyai petugas (keselamatan) dari negara-negara yang bekerjasama dengan kami. Pelaburan yang besar telah dilakukan dari segi infrastruktur keselamatan dengan kamera keselamatan dipasang di merata tempat," katanya.

Rompakan bersenjata terhadap pelayar Paralimpik Australia, Liesl Tesch dan pegawai fisioterapi, Sarah Ross di sebuah taman berhampiran Pantai Flamengo dan penemuan bahagian tubuh manusia yang terdampar di pantai, di hadapan Arena Bola Tampar Pantai Olimpik di pantai terkenal Copacabana di Rio, telah menimbulkan ketegangan di seluruh dunia.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila pasukan keselamatan berkaitan membuat siri bantahan terhadap kerajaan selepas kecewa kerana gaji mereka tidak dibayar.

Banner di lapangan terbang tertera tulisan: "Selamat datang ke neraka. Polis dan anggota bomba tidak dibayar gaji, sesiapa yang datang ke Rio de Janeiro tidak akan selamat" dan lukisan grafiti pada jejambat yang memberi amaran tentang kekurangan kemudahan hospital, menambah lagi kebimbangan.

Ekonomi Brazil, yang antara negara di dunia yang pernah berkembang pesat dan pelabur mengalami pertumbuhan yang stabil antara 2002 dan 2008, dijangka menghadapi masalah ekonomi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar 2015, paling teruk dalam tempoh 25 tahun, berikutan kejatuhan harga komoditi dan ekonomi global yang lembab.

Negara Amerika Latin itu, dengan jumlah penduduk kira-kira 209 juta orang,  mengeksport bijih besi, kacang soya, gula dan produk ayam di seluruh dunia.

Negara berkenaan mencatat lebihan dagangan sebanyak US$19.68 bilion tahun lepas, tetapi eksport merosot 14 peratus kepada US$191.134 bilion, menyebabkan kerajaan terpaksa memulihkan ekonomi, dengan mengurangkan perbelanjaan awam dan menurunkan nilai mata wang Brazil iaitu Real.

Walaupun berdepan banyak cabaran, Lins percaya Brazil boleh mengatasi masalah itu dan mengubah keadaan menjadi positif untuk menganjurkan temasya sukan tersebut dengan sangat baik, serta mewujudkan peluang kepada masyarakat seluruh dunia untuk bersama-sama merasainya.

Beliau berkata walaupun semua langkah perlu telah diambil, negara itu tidak akan memandang mudah sebarang ancaman dan bersedia menerima sebarang input daripada rakan antarabangsa di bandar Rio, yang mempunyai penduduk lebih enam juta serta dikelilingi laut, gunung dan hutan.

"Ia perkara biasa bagi mana-mana bandar atau negara yang menganjurkan acara-acara besar untuk mendapat banyak perhatian dan segala apa yang berlaku di bandar itu akan dipaparkan di media di seluruh dunia, dan ia memberi kebaikan dan juga keburukan.

"Apabila kita memutuskan untuk menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia, kita mesti bersedia untuk dikritik. Kami tenang dengan keadaan ini, dan masyarakat berhak memberi pendapat," katanya.

Menurut laporan media pada 2015, Brazil menghantar kira-kira 100 anggota polis ke luar negara untuk belajar tentang amalan-amalan terbaik dalam acara-acara besar, termasuk Maraton Boston dan Berlin, Kejohanan Olahraga Dunia IAAF di Beijing, Tour de France dan Perhimpunan Agung PBB.

Kerajaan negara itu, sebelum ini mengumumkan kira-kira 85,000 anggota polis dan tentera akan dikerahkan bagi membendung keganasan dan jenayah untuk memastikan keselamatan kira-kira 5,000 atlet dan pelancong di bandar Rio de Janeiro.

Lins juga melahirkan keyakinan Brazil akan menampilkan prestasi terbaik dalam acara sukan seperti bola sepak yang akan diketuai Neymar, bola tampar, bola tampar pantai, gimnastik, judo, serta renang, taekwondo dan ping pong.

Berbaki lima minggu lagi menjelang temasya sukan itu, kerja-kerja menyiapkan venue pertandingan sedang giat dijalankan, bagi detik-detik bersejarah tercipta pada Sukan Olimpik pertama dianjurkan di benua Amerika Selatan itu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: virus Zika , Sukan Olimpik Rio , Brazil

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan