Brazil Perkenal Pingat Sukan Olimpik Rio

Diterbitkan: Rabu, 15 Jun 2016 9:51 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Berbaki 52 hari sebelum atlet terbaik dunia bersaing merebut kegemilangan pada Sukan Olimpik, Brazilian Mint pada Selasa, memperkenalkan pingat untuk Sukan Olimpik Rio de Janeiro.

Menurut laman web rasmi Sukan Olimpik Rio de Janeiro, www.rio2016.com, sejumlah 2,488 pingat telah dihasilkan melibatkan 812 pingat emas, 812 perak dan 864 gangsa.

"Hari ini menandakan permulaan detik kiraan terakhir untuk Sukan Olimpik pertama yang akan dianjurkan di Amerika Selatan," kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, yang turut hadir pada majlis pelancaran itu di Barra Olympic Park, seperti dipetik dalam laporan berita.

Mengandungi reka bentuk yang meraikan hubungan antara kehebatan wira Olimpik dan kekuatan alam semula jadi, pingat emas, perak dan gangsa seberat 500 gram itu diperbuat agar dekat dengan hati mereka.

"Atlet yang menaiki podium di Rio akan menerima pingat diperbuat daripada emas yang telah diekstrak tanpa menggunakan merkuri dan dihasilkan mengikut kriteria ketat, daripada awal perlombongan sehingga ke reka bentuk produk akhir.

"Pingat perak dan gangsa dihasilkan menggunakan 30 peratus bahan kitar semula. Separuh daripada plastik dalam reben yang akan digunakan untuk kalungan pingat di leher atlet adalah daripada botol plastik dikitar semula. Bahan bulat yang memegang pingat dibuat daripada kayu freij yang disahkan oleh Majlis Pengawasan Hutan (FSC)," menurut laman web itu.

Reka bentuk yang menampilkan daun laurel - simbol kemenangan di zaman purba Greece dalam bentuk lingkaran bunga, dianugerahkan kepada pemenang acara - di sekeliling logo Olimpik Rio 2016.

Sementara pingat Sukan Paralimpik memaparkan inovasi khas, yang mempunyai peranti kecil dalam pingat yang akan berbunyi apabila pingat itu digoncang, membolehkan atlet cacat penglihatan tahu jika mereka memenangi pingat emas, perak atau gangsa.

Turut diperkenalkan pada majlis di Future Arena itu adalah podium yang diperbuat daripada bahan-bahan organik dan meraikan sifat tropika negara Brazil, manakala dulang pingat diperbuat daripada kayu Curupix.

Pakaian seragam penyampai pingat, yang diilhamkan oleh keindahan alam semula jadi dan dihasilkan pereka berpangkalan di Rio, Andrea Marques, juga diperkenalkan pada majlis itu. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Sukan Olimpik , pingat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan