Senarai Awal Pelatih Kebangsaan Diketahui September Ini - Abu Samah

Diterbitkan: Selasa, 14 Jun 2016 1:03 PM

Abu Samah Abd Wahab.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Senarai awal barisan pelumba yang akan menyertai kem latihan skuad berbasikal kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2017 dijangka akan diketahui September ini.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata persatuan sudah mempunyai senarai cadangan beberapa pelumba yang telah dikenal pasti.

"Bagaimanapun, kami mahu memilih pelumba yang sesuai dengan laluan yang bakal dipilih nanti," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Abu Samah berkata beberapa pelumba telah menunjukkan prestasi terbaik dalam penyertaan di Jelajah Thailand dan Jelajah Korea baru-baru ini.

Katanya, antara pelumba yang kompetitif seperti Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri dan Muhsin Alredha Misbah yang dilihat menyerlah pada kedua-dua jelajah berbasikal berkenaan.

"Sofian Nabil merupakan pelumba paling menonjol di Jelajah Korea apabila tiga kali berjaya menduduki kelompok 20 terbaik. Pencapaian terbaik adalah pada peringkat pertama dari Busan ke Gumi dengan menduduki tempat ke-11, peringkat ketiga di tempat ke-18 dan peringkat ketujuh, tempat ke-14.

"Muhsin Alredha pula menduduki tempat ke-17 kategori Pelumba Terbaik Asia. Laluan bagi Jelajah Korea adalah berbukit dan pelumba muda ini sangat menonjol pada penampilan pertamanya berkayuh di Jelajah Korea. Manakala Nik Mohd Azwan pula berjaya muncul juara kategori Pelumba Terbaik Asia di Jelajah Thailand," katanya.

Katanya, ketika ini skuad kebangsaan dibarisi pelumba seperti Ahmad Fauzan Ahmad Lufti, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Amir Mustafa Rusli, Muhammad Nur Rauf Misbah, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri, Muhdin Alredha Misbah dan Mohammad Nor Aiman Mohd Zariff.

"PKBM berbangga kerana masih memiliki pasukan kebangsaan yang dilihat mampu melakukan kejutan dalam acara lebuh raya di Sukan SEA 2017 nanti. Itu belum termasuk senarai pelumba dari Terengganu Cycling Team (TSG)," katanya.

Skuad berbasikal negara menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya dua pingat emas menerusi acara lepas beramai-ramai dan kriterium lelaki pada temasya 2017 yang mana menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah.

Pada edisi 2015 di Singapura, Malaysia meraih dua pingat emas menerusi Mohd Harrif Salleh yang juga merupakan pelumba dari pasukan TSG. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PKBM , Sukan SEA 2017

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan