Heidi Layak Ke Sukan Olimpik Acara 10KM Maraton

Diterbitkan: Ahad, 12 Jun 2016 11:45 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perenang jarak jauh Malaysia Heidi Gan mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro dalam acara renang 10 kilometer maraton wanita terbuka selepas mencatatkan prestasi cemerlang di Portugal pada Ahad.

Heidi menduduki tempat ke-18 dalam Kejohanan Kelayakan Olimpik itu di Setubal, Portugal awal selepas mencatatkan masa 1 jam 57 minit 41.20 saat untuk memperoleh tempat ke Rio menerusi peruntukan kuota benua.

Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) memperuntukkan tempat di Rio kepada atlet menduduki ranking terbaik daripada setiap lima benua sekiranya mereka gagal layak untuk acara berdasarkan merit.

Selaku juara, Xin Xin daripada China menamatkan perlumbaan itu dengan catatan masa 1’55:12.10s dan perenang yang menduduki tempat kelima Yumi Kida (1'55:38.40s) daripada Jepun memperoleh tempat ke-10 kelayakan terus manakala Heidi mendapat kuota benua bagi Asia.

Keri-anne Payne daripada Great Britain menduduki tempat kedua dengan catatan 1’55:12.90s  manakala Samantha Arvelo daripada Ecuador di tempat ketiga dengan 1’55:15.90s dalam acara yang berlangsung di Sungai Sado.   

Perenang negara berumur 27 tahun itu dalam catatan di Facebooknya berkata dia amat bersyukur dapat bersaing dalam Olimpik buat kali kedua selepas menduduki tempat ke-16 pada Olimpik London 2012.

“Perlumbaan hari ini bagi saya amat sukar dan mencabar, tetapi saya berusaha lakukan yang terbaik, dan ia cukup untuk membolehkan saya mendapat tiket ke Rio. Ini amat bermakna buat diri saya atas pelbagai sebab kerana enam minggu lepas saya tidak mampu berenang kerana kecederaan di bahu.

“Hakikat bahawa saya berjaya menamatkan perlumbaan dengan bahu yang 'bertampal' di laluan yang pada kali terakhir saya berenang di sini saya mendapat hypothermia menjadikan kejayaan ini lebih manis. Apatah lagi pakaian renang koyak sejam sebelum perlumbaan bermula.

“Saya ingin ucapkan terima kasih tidak terhingga atas sokongan diberikan pasukan saya - jurulatih saya Matt Magee yang tetap yakin dengan saya dan percaya bahawa saya mampu sampai ke tahap ini, disebalik kecederaan pada tubuh saya (dan minda!) jurulatih perjalanan saya Ian Mills yang akan menemani saya ke Rio, pakar fisiologi saya Brett Slocombe yang membantu saya, keluarga saya dan pasangan saya atas sokongan berterusan anda semua dan rakan-rakan saya," katanya.

Heidi yang gagal dalam cubaan pertama bagi kelayakan Rio pada Kejohanan Dunia di Kazan, Rusia, pada Julai tahun lepas, mencipta sejarah untuk menjadi perenang terbuka Malaysia yang pertama layak ke Olimpik dalam acara sama di Setubal pada 2012.  -Bernama

Tags / Kata Kunci: Maraton 10KM , Heidi Gan , Sukan Olimpik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan