Atlet Olimpik Negara Dinasihat Fikir Masak-Masak Jika Mahu Tarik Diri

Diterbitkan: Selasa, 31 Mei 2016 3:03 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet negara yang layak ke Sukan Olimpik perlu memikir sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyertai temasya sukan berprestij dunia itu di Brazil nanti.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo berkata, persatuan sukan dan atlet itu sendiri perlu mengetahui tidak semua sukan boleh diganti dengan mana-mana atlet lain jika terdapat atlet mahu menarik diri.

"Bergantung pada sukan itu, tidak semua sukan kita boleh ganti dengan atlet lain terutamanya yang layak berdasarkan ranking. Sebagai contoh angkat berat, kemasukan adalah atas nama, jika sesuatu berlaku, atlet berkenaan boleh diganti.

"Tetapi sesetengah sukan tidak berdasarkan ranking, (sekiranya atlet menarik diri), dia akan terlepas peluang. Kalau atlet tarik diri, tidak bermakna Malaysia boleh dapat tempat tetapi atlet dari negara lain boleh menggantikan atlet Malaysia," katanya.

Semalam Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata pihaknya tidak akan menghalang atlet yang mahu menarik diri daripada menyertai kontinjen negara ke Sukan Olimpik ekoran berlaku wabak zika di negara itu.

Tunku Imran sebelum ini juga menjelaskan beliau percaya Rio de Janeiro adalah selamat untuk atlet dan jawatankuasa penganjur telah mengambil langkah penting untuk menangani perkara itu.

Sukan Olimpik 2016 dijadual berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil dari 5 hingga 21 Ogos depan.

Setakat ini 22 atlet negara telah melayakkan diri secara merit.

Mereka ialah Khairul Anuar Mohamad (memanah), Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa (berbasikal) serta Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Pandelela Rinong Pamg dan Ng Yan Yee (terjun).

Turut tersenarai Khairulnizam Mohd Affendy dan Nur Shazrin Latiff (pelayaran), Jonathan Wong Guanjie (menembak), Welson Sim (renang), Nauraj Singh (olahraga) dan Mohd Hafifi Mansor (angkat berat).

Dalam acara badminton, jaguh perseorangan Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, perseorangan wanita Tee Jing Yi dan beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei turut melayakkan diri.

Kontinjen negara masih boleh menghantar sembilan atlet dalam empat acara iaitu renang, golf, memanah dan olahraga berdasarkan kuota.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Olimpik , Low Beng Choo , MOM , Brazil

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan