Piala Tun Razak: Perak Tundukkan N.Sembilan 5-2

Diterbitkan: Ahad, 22 Mei 2016 11:10 PM

Pemain Kuala Lumpur Muhammad Aslam Mohamed (kiri) membawa bola melepasi pemain Terengganu pada Kejohanan Hoki Piala Tun Razak Ke-54 di Stadium Hoki Bukit Jalil, Ahad. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki Perak bermula garang apabila menang bergaya, 5-2, ke atas pasukan Negeri Sembilan pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan B, Piala Tun Razak di Stadium Hoki Nasional, malam Ahad.

Pasukan Perak yang merupakan anak didik K. Yogeswaran menggegarkan gol pihak lawan sebanyak empat kali, yang berkesudahan 4-0 pada separuh masa pertama.

Gol pertama milik Perak seawal minit pertama dihadiahkan oleh Syed Muhamad Syafiq Syed Cholan melalui pukulan sudut penalti dan seterusnya digandakan melalui gol padang oleh Hafifi Hafiz Hanafi pada minit ke-18.

Pasukan Perak terus cemerlang mengumpul mata apabila gol ketiga dan keempat, yang hanya berbeza dua minit (minit ke-27 dan ke-29) dijaringkan oleh Mohd Zulhamizan Awang Abas dan sekali lagi oleh Hafifi Hafiz melalui jarigan gol padang.

Beralih ke babak kedua, pemain Perak Mohamad Ashran Hamsani memulakan jaringan melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-32 sebelum pasukan Negeri Sembilan cuba bangkit empat minit kemudian, juga melalui pukulan sudut penalti oleh G.Kevin Kartik.

Penyudah perlawanan antara Perak dan Negeri Sembilan adalah melalui pukulan gol padang oleh pemain Negeri Sembilan, Dangerous Lee anak Mathew pada minit ke-55 sebelum keputusan berakhir berpihak kepada Perak.

Satu lagi perlawanan pertama peringkat Kumpulan B yang berlangsung secara serentak berakhir dengan keputusan mengejutkan apabila juara 19 kali Piala Tun Razak, Kuala Lumpur tewas kepada Terengganu, 2-3.

Anak didik K.Rajan beraksi tenang pada awalnya apabila mendahului Terengganu 2-0 selepas Muhammad Shahril Saabah menjaringka kedua-dua gol milik Kuala Lumpur pada minit kelapan dan minit ke-17 melalui pukulan penalti.

Tercabar dengan kejayaan Kuala Lumpur, pemain Terengganu Nik Muhammad Aiman Nik Rozami menjaringkan dua gol melalui pukulan sudut penalti,masing-masing pada minit ke-21 dan ke-23.

Terengganu mengesahkan kemenangan malam ini melalui gol padang milik pemain hoki kebangsaan, Mohd Fitri Saari pada minit ke-50.

Bagi perlawanan kedua peringkat Kumpulan A esok, juara bertahan, Melaka akan bertemu Johor manakala pasukan Pahang bertembung dengan pasukan yang baru sahaja masuk Divisyen 1 iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tags / Kata Kunci: Piala Tun Razak , K. Yogeswaran

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan