APO2016: Cabaran Besar Skuad Memanah Wanita Pertahan Gelaran Dunia

Diterbitkan: Selasa, 19 April 2016 8:00 AM

Dari kiri: Norizah Ishak,Fatin Nur Fatehah Mat Salleh,Nor Hayati Al Madihah Hashim dan Saritha Cham Nongn menunjukkan pingat emas yang dimenangi pada aksi Piala Dunia di Shanghai tahun lalu. Foto:SHAARI CHEMAT / The Star.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pasukan memanah wanita negara bakal berdepan tekanan baharu selaku juara bertahan menjelang aksi Peringkat Pertama Piala Dunia di Shanghai, China bermula 24 hingga 1 Mei ini.

Buat julung kalinya skuad negara yang dibarisi pemanah berbisa Nor Rizah Ishak, Saritha Cham Nong, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Norhayati Al-Madihah Hashim muncul juara dalam acara compound menewaskan pesaing terdekat Amerika Syarikat pada aksi tahun lalu.

Lebih manis, kejayaan tersebut merupakan emas pertama yang diraih bagi acara berpasukan wanita yang di peringkat antarabangsa.

Salah seorang pemanah senior dalam pasukan ini, Nor Rizah berkata, ia kenangan paling manis kerana dapat mencipta rekod baharu dalam sukan memanah negara, namun tidak mahu terus dibuai mimpi.

"Mencipta rekod lebih mudah daripada mempertahankan rekod. Kami dapat rasakan bahang sengit di Shanghai nanti dengan tentangan yang akan diberikan oleh pasukan lawan.

"Sebagai persediaan, kami akan cuba sentiasa fokus ketika latihan dan paling penting memberi sokongan antara satu sama lain.

"Selain menjalani latihan harian, kami juga turut menyertai Siri Pertama Piala Asia di Bangkok bulan lalu dan beryukur menjadi juara," jelasnya kepada mStar Online pada majlis pengumuman finalis Anugerah Pilihan Online (APO) 2016 bagi kategori Pasukan Sukan Pilihan Online baru-baru ini.

Rakan sepasukannya, Saritha berkata, acara berpasukan memerlukan komitmen daripada semua pemanah.

"Masing-masing akan memberi dorongan sekiranya salah seorang daripada kami agak gementar ketika memulakan aksi.

"Namun masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi situasi itu. Bagi saya pula, lebih suka bercakap dengan diri sendiri, buat 'visualisation' sebelum perlawanan dan sentiasa tenang," ujar pemanah berketurunan Siam ini.

Manakala bagi Norhayati Al-Madihah pula menambah, pasukan akan lebih mantap sekiranya banyak menyertai kejohanan-kejohanan di luar negara.

"Lebih kompetitif jika kami mendapat lebih pendedahan kejohanan di luar negara. Latihan dan kejohanan tempatan yang ada sekarang bagus, lebih-lebih lagi kami kini berada dalam 'Program Kita Juara' untuk Sukan SEA tahun depan, tetapi pendedahan tambahan ke luar negara  mampu membantu meningkatkan lagi prestasi pasukan.

"Selain itu, kami berterima kasih kepada jurulatih  Lee Jae-Hyung yang banyak memberi tunjuk ajar sehingga berada di sini sekarang," tambah Norhayati.

Dalam pada itu, pasukan memanah compound ini turut teruja apabila tercalon dalam senarai akhir lima pasukan terbaik bagi kateori Pasukan Sukan Pilihan Online.

"Kami agak terkejut dengan pencalonan akhir ini. Terima kasih kepada pengundi-pengundi awal, dan kami anggap ia sebahagian daripada penyuntik semangat beraksi di Shanghai nanti.

"Walaupun tidak dapat hadir pada majlis akhir nanti, kami berharap agar menerima berita gembira. Sekali lagi kami berterima kasih kepada penganjur dan peminat-peminat sukan memanah tanah air yang sentiasa memberi sokongan untuk pasukan negara," tambah Nor Rizah tersenyum.

Proses pengundian fasa kedua bermula 1 April hingga 27 April depan dan sepanjang tempoh itu undian boleh dibuat setiap hari (sekali sehari) menerusi akaun Facebook, Instagram dan Google di laman web http://apo.mstar.com.my/utama.aspx

Debaran APO2016 mulai dirasai selepas peringkat pertama berakhir pada 31 Mac dan pengumuman senarai pencalonan lima terbaik itu diadakan di Menara Star di 31 Mac lalu.

Semasa tempoh pencalonan yang bermula 3 Mac sehingga 30 Mac 2016, pihak penganjur menerima kira-kira 120,000 pencalonan yang dibuat menerusi laman web khas APO2016 iaitu http://apo.mstar.com.my/undi.aspx.

Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April 2016 (Sabtu) dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.

Ia bakal dimeriahkan dengan gabungan tiga pengacara iaitu pasangan deejay Suria Pagi, Suria FM iaitu Adibah Noor dan Baki Zainal yang akan disokong oleh pengacara hebat Awal Ashaari.

Tags / Kata Kunci: Pasukan memanah wanita , APO2016

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan