Hariff Tawan Peringkat Ketiga Jelajah Thailand

Diterbitkan: Ahad, 3 April 2016 10:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Pelumba pasukan lumba basikal profesional Terengganu (TSG), Mohd Hariff Salleh berjaya memenangi peringkat ketiga perlumbaan Jelajah Thailand (ToT 2016), Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata pelumba berusia 28 tahun itu berjaya menawan perlumbaan sejauh 194km dari Sakon Nakhon ke Beung Kan dengan catatan masa empat jam 24 minit 35 saat.

Tempat kedua dimenangi pelumba Thailand, Thangwut Sanikwathi diikuti pelumba Vietnam, Nguyen Thanh Tam dalam saingan yang disertai oleh 89 pelumba dari 20 pasukan dari sembilan negara.

Katanya pada ToT 2016, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya menang satu daripada enam peringkat melibatkan jarak keseluruhan 995.5km.

"Dalam saingan peringkat ketiga Hariff, telah merealisasikan sasaran itu," katanya kepada Bernama di sini.

Selain Mohd Hariff, TSG menghantar Mohd Zamri Salleh, Maral Erdene Batmunkh, Mohd Saiful Anuar Aziz dan Daniel Whitehouse.

Sementara itu, Muhammad Nor Aiman Mohd Zariff berjaya mengekalkan jersi biru, selaku pelumba terbaik ASEAN, dengan mengumpul masa keseluruhan 11 jam 38 minit 19 saat.

Pelumba pasukan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) itu, bagaimanapun, menamatkan perlumbaan peringkat ketiga di tempat ke-62.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Farhan berkata dua lagi pelumba pasukan itu yang dijangkiti virus kencing tikus telah stabil.

Mohammed Adiq Husainie, 25, dan Goh Choon Huat, 26, juga telah dibenarkan pulang selepas hampir lima hari mendapatkan rawatan di hospital.

"Adiq telah dibenarkan pulang pada Jumaat lepas dan kini berada di kampung ibunya di Kedah untuk berehat manakala Choon baru dibenarkan pulang petang tadi.

Namun mereka perlu membuat rawatan susulan dalam tempoh dua minggu," katanya.

Katanya, hasil laporan ujian darah dari pihak hospital mengesahkan kedua-dua pelumba tersebut positif virus berkenaan dan punca sebenar masih dalam siasatan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan