Ketiadaan Kumar Beri Kesan Kepada Skuad Kebangsaan

Diterbitkan: Jumaat, 1 April 2016 7:43 PM

S Kumar mengalami kecederaan pangkal paha.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketiadaan penjaga gol utama negara, S. Kumar pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah dijangka memberi kesan kepada prestasi skuad bimbingan Stephen Van Huizen.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terpaksa menggugurkan pemain berusia 37 tahun itu dari skuad berkenaan ekoran kecederaan pangkal paha yang dialami selepas perlawanan terakhir Jelajah Oceania ketika menentang Australia baru-baru ini.

Edisi ke-25 Piala Sultan Azlan Shah disertai tujuh negara -- Australia, New Zealand, India, Kanada, Pakistan, Jepun dan Malaysia akan membuka tirai pada Rabu ini hingga 16 April di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Van Huizen berkata posisi Kumar akan diganti sama ada Hafizuddin Othman atau Hairi Abdul Rahman iaitu penjaga gol skuad remaja, bagaimanapun keputusan masih belum dimuktamadkan.

"Beliau (Kumar) dinasihatkan oleh doktor untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti sukan sekurangnya-kurangnya dalam masa enam minggu.

"Walaupun tanpa Kumar, saya yakin skuad negara mampu beraksi dengan baik kerana Hafizuddin pernah menggantikan Kumar ketika perlawanan separuh akhir Hoki Liga Dunia di Antwerp, Belgium Jun lepas," katanya dalam sidang akhbar pengumuman anggota skuad hoki negara ke Piala Sultan Azlan Shah di Pejabat KHM di sini, Jumaat.

Skuad yang diketuai oleh Razie Abd Rahim itu akan berhadapan juara bertahan New Zealand yang kini berada di ranking kelapan dunia dalam perlawanan pembukaan pada Rabu ini.

Untuk rekod, pasukan negara muncul naib juara sebanyak lima kali iaitu pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014 manakala Australia pula muncul sebagai juara sebanyak lapan kali.

Senarai pemain skuad hoki kebangsaan untuk Piala Sultan Azlan Shah ke-25:

Pertahanan: Najib Abu Hassan, Sukri Abdul Mutalib, Razie Abd Rahim (Kapten), Faiz Helmi Jali, Izad Hakimi Jamaluddin.

Pemain tengah: Marhan Jalil, Fitri Saari, Joel Samuel Van Huizen, Nabil Fiqri Mohd Noor, Meor Muhamad Azuan Hasan.

Penyerang: Ramadan Rosli, Haziq Samsul, Firhan Ashari, Nik Aiman Rozemi, Shahril Saabah, Rashid Baharom.

Penjaga gol: Hafizuddin Othman, Hairi Abdul Rahman.- BERNAMA




Tags / Kata Kunci: S. Kumar , Piala Sultan Azlan Shah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan