Kejayaan Welson Luar Biasa - KJ

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mac 2016 4:02 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan kejayaan perenang negara, Welson Sim menempah dua slot ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini sebagai pencapaian luar biasa.

"Tak pernah kita ada perenang yang layak untuk dua acara secara merit dalam Kategori A," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Belia Tahunan di sini, Sabtu.

Welson menempah tiket keduanya selepas meraih pingat emas acara 200 meter gaya bebas lelaki pada Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan Singapura di di Arena Akuatik OCBC di Singapura semalam.

Perenang dari Sarawak yang berusia 18 tahun itu yang layak ke Sukan Olimpik dalam acara 400m gaya bebas kelmarin, memenangi pingat emas acara 200m gaya bebas dengan catatan 1 minit 47.67 saat, 0.30 saat dalam garis masa Kategori A untuk ke temasya sukan paling besar di dunia itu.

Catatan itu juga menyaksikan beliau mengatasi rekod kebangsaan yang dicatatkan Daniel Bego 1:49.21s pada 2013.

Kelmarin, ketika memenangi acara 400m gaya bebas, Welson menamatkan saingan di tempat pertama dengan catatan tiga minit 50.33 saat, melepasi had kelayakan 3:50.44s.

Sementara itu, Khairy berharap Welson akan terus mendapat pendedahan terbaik agar prestasinya terus cemerlang pada masa akan datang.

Beliau turut mencadangkan atlet renang itu diberikan latihan di luar negara seperti Amerika Syarikat bagi membolehkannya mendapat latihan terbaik.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Welson Sim , Olimpik , Khairy Jamaluddin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan