Lima Atlet Muay Negara Ke Final Kejohanan Antarabangsa Di Bangkok

Diterbitkan: Isnin, 14 Mac 2016 11:37 PM

Atlet Muay negara, Mohd Zamani bersama jurulatihnya Hafiz Rozaidi selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir di Kejohanan 1st International Thai Martial Arts Games Festival di Bangkok, Isnin. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Lima atlet sukan Muay negara melangkah dengan bergaya ke perlawanan akhir Festival Seni Mempertahankan Diri Antarabangsa Thai yang julung kali diadakan di Bangkok pada Isnin.

Presiden Pro-Tem Persatuan Muay Malaysia merangkap Presiden Persatuan Muay Selangor, Datuk Mohd Fairus Urep berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan sebenar atlet sukan Muay negara bersaing di peringkat antarabangsa.

"Kejayaan memasuki perlawanan akhir pelbagai kategori itu merupakan bukti terhadap kemampuan atlet-atlet Muay negara bersaing dengan atlet antarabangsa dalam sukan popular Muay," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Kelima-lima atlet sukan Muay itu, katanya, bakal bertembung dengan lawan masing-masing dari Pakistan, Uzbekistan, Greece dan Thailand dalam perlawanan akhir pada Selasa.

Bersaing dengan atlet-atlet Muay dari luar negara yang memiliki susuk tubuh lebih sasa tidak mendatangkan sebarang masalah kepada atlet negara yang ternyata lebih tangkas berbanding lawan, kata Mohd Fairus.

Atlet-atlet Muay negara yang berjaya memasuki perlawanan akhir pada Selasa ialah Mohd Arif Haikal Mohd Zahir dan Iskandar Nazri, kedua-duanya dalam kategori kadet bawah 12 tahun manakala Mohd Azizi Shamsuddin dalam kategori 48kg, Mohd Zamani (54kg) dan Najmi Nazri (57kg).

"Pencapaian ini adalah hasil kerja keras kita menerusi kem latihan pusat selama dua bulan sebelum ini. Ia sememangnya membuahkan hasil dan akan hanya mendorong untuk mencapai keputusan terbaik pada perlawanan akhir," katanya.

Mohd Fairus berkata selepas menyertai pertandingan di Bangkok, anak-anak buahnya akan mempersiapkan diri untuk kejohanan Muay di Uzbekistan pada Ogos dan Kejohanan Muay ASEAN di Jakarta pada Disember. 

Pihaknya turut merancang untuk menganjurkan Kejohanan Jemputan Muay ASEAN pada tahun depan selain berharap sukan itu turut dipertandingkan pada Sukan SEA anjuran Malaysia pada 2017.

Beliau berpendapat jikalau sukan itu dipertandingkan pada Sukan SEA 2017, Malaysia berkemampuan merangkul pingat emas dalam beberapa kategori berikutan kemampuan atlet Muay negara yang semakin meningkat. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan