Malaysia Tewaskan New Zealand Dalam Ujian Kedua

Diterbitkan: Isnin, 7 Mac 2016 11:45 PM

Muhammad Razie Rahim.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara menewaskan New Zealand 3-2 pada perlawanan ujian kedua di Blake Park di Tauranga, New Zealand, Isnin.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas New Zealand mencatat kemenangan 4-1 ke atas Malaysia dalam perlawanan ujian pertama pada Ahad.

Muhammad Razie Rahim, pakar pukulan sudut penalti, menjaringkan dua gol pada minit ke-2 dan 55, selain gol menerusi Joel Samuel van Huizen pada minit ke-43, manakala gol New Zealand yang juga dikenali sebagai 'Black Sticks' dijaringkan Hugo Inglis pada minit ke-21 dan Cory Bennett pada minit ke-51.

Ketua jurulatih pasukan negara, Stephen Van Huizen memuji anak buahnya yang menampilkan peningkatan prestasi terutama di bahagian tengah, namun pasukan itu perlu memberi fokus dalam mewujudkan persefahaman yang lebih baik.

"Kita boleh memperbaiki lagi (prestasi) jika meningkatkan komunikasi dan permainan lebih tersusun. Itu antara fokus utama pada perlawanan seterusnya," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada Isnin.

"Pemain tengah beraksi dengan baik dan penguasaan bola oleh kita juga bagus. Kita banyak mengatur gerakan dan kurang melakukan kesilapan individu," kata Van Huizen.

Berkongsi pandangan sama ialah Pengarah Teknikal MHC Terry Walsh, yang percaya keputusan hari ini menunjukkan pasukan negara semakin mantap dari segi fizikal dan mental.

"Pasukan negara tidak pernah ketinggalan dan kita sentiasa mendahului. Ini bermakna pemain cukup yakin berdepan dengan lawan mereka. New Zealand bukan pasukan yang mudah dikalahkan dan mereka dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Rio 2016," katanya.

"Jadi, menewaskan pasukan yang berada di ranking lebih baik daripada kita adalah keputusan yang baik kepada mereka, dengan jelas pemain-pemain kini mula membina keyakinan tentang kemampuan mereka," katanya.

Walsh, 62, dari Australia, berharap perlawanan ujian itu akan memberi pendedahan dan peluang berguna dalam membentuk pasukan negara yang mantap.

Malaysia akan beraksi dalam dua lagi perlawanan ujian menentang New Zealand pada jelajah itu, yang merupakan perancangan Walsh bagi memperkuatkan skuad negara menghadapi Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah, dijadualkan dari 6 hingga 16 April di Ipoh, Perak. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: hoki , Malaysia , New Zealand

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan