China Muncul Juara Dunia Kali Ke-20 Dalam Acara Ping Pong Wanita

Diterbitkan: Ahad, 6 Mac 2016 10:51 PM

Ding Ning meraikan kemenangannya.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Skuad wanita China muncul juara Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia (WTTC) 2016 buat kali ke-20 selepas mengalahkan Jepun 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium Malawati di sini Ahad.

China, yang beraksi dalam final bagi kali ke-25, berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah kepada Jepun sejak edisi 1971 di Nagoya, Jepun.

Pemain nombor satu dunia, Liu Shiwen menyumbang mata pertama bagi China apabila dengan mudah mengalahkan pemain nombor empat dunia, Ai Fukuhara 5-11, 6-11 dan 8-11.

Bagaimanapun, China terpaksa berhempas pulas untuk mengumpul mata kedua apabila pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012, Li Xiaoxia ketinggalan dua set pertama sebelum bangkit untuk mengetepikan cabaran daripada Kasumi Ishikawa dengan kemenangan 6-11, 7-11, 11-9, 11-3 dan 11-5.

Pada perlawanan ketiga, pemain nombor dua dunia, Ding Ning turut ketinggalan set pertama sebelum bangkit untuk menewaskan pemain Jepun berusia 15 tahun, Mima Ito, dengan 8-11, 11-7, 11-8 dan 11-1 bagi membawa pulang Piala Marcel Corbillon.

China turut merangkul Anugerah Pemain Paling Berharga menerusi Xiaoxia yang merupakan tulang belakang skuad Tembok Besar itu dalam kempen keseluruhan tujuh perlawanan dalam mempertahankan kejuaraan tersebut.

"Saya menerima sokongan padu daripada pasukan tetapi faktor utama ialah saya mengambil masa rehat ketika ketinggalan mata untuk menyakinkan diri.

"Saya menghadapi tekanan tetapi gembira untuk menang biarpun prestasi saya belum capai di tahap puncak," kata Xiaoxia.

Dalam pada itu, juara lapan kali, Jepun, berjanji untuk bangkit semula dengan lebih mantap pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Ogos ini dan juga Kejohanan Dunia 2018 selepas gagal dalam penampilan final ke-13 di sini.

"Kami akan terus berlatih dengan menggunakan kaedah taktik dan strategi terbaik untuk mengalahkan China pada masa akan datang," kata jurulatih Jepun, Yasukasu Murakami.

Sementara itu, Taiwan dan Korea Utara merangkul pingat gangsa selepas kalah masing-masing dalam saingan separuh akhir.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Presiden Persekutuan Ping Pong Antarabangsa (ITTF), Khalil Al-Mohannadi, Presiden Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM), Tan Sri Koo Yuen Kim dan Timbalan Presiden Perfect China Company, Eric Hooy Kok Wai.

Sejumlah 99 negara iaitu 91 pasukan lelaki dan 81 pasukan wanita mengambil bahagian dalam empat divisyen dalam kejohanan seminggu yang dihoskan oleh TTAM. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: ping pong , China

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan