Jurulatih Negara Kecewa Aksi Di WTTC

Diterbitkan: Isnin, 29 Februari 2016 4:29 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Jurulatih negara Beh Lee Fong kecewa dengan prestasi skuad wanita kebangsaan terutama Ng Sock Khim yang gagal memberi persembahan meyakinkan di Kejohanan Ping Pong Berpasukan Dunia (WTTC).

Ini berikutan kekalahan ketiga berturut-turut skuad itu tanpa berjaya  mencuri sebarang set daripada lawan di kejohanan yang diadakan di Stadium Malawati, di sini.

Skuad yang diterajui Sock Khim yang juga pemenang pingat perak Sukan SEA 2015, tewas 0-3 kepada Taiwan, selepas tunduk kepada Romania pada perlawanan pertama diikuti kekalahan di tangan China, kedua-duanya dengan keputusan sama.

"Sock Khim tidak sabar untuk beraksi tetapi permainannya tidak meningkat sehingga gagal memberi persembahan yang baik. Mungkin dia tertekan bermain di tempat sendiri.

"Dia gagal menemui rentak permainan...kali terakhir dia menentang lawan sama, dia memberikan tentangan yang baik tapi kali ini gagal mendapat keputusan yang diharapkan," kata Lee Fong yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan.

Sock Khim, 32, mudah ditundukkan pemain Taiwan, Chen Szu-Yu 3-11, 3-11, 5-11, manakala Ho Ying tunduk 4-11, 4-11, 5-11 kepada Liu Hsing-Yin pada Isnin.

Ini diikuti kekalahan Amanda Wong Ee Ling kepada Lin Chia-Hui 7-11, 2-11, 6-11.

"Saya mengharapkan pemain negara dapat menang sekurang-kurangnya satu set, tetapi hasil yang diperoleh jelas tidak bagus untuk kita," kata Lee Fong.

Sock Khim yang masih menjalani proses pemulihan selepas pembedahan kakinya sebelum ini tewas 4-11, 4-11, 11-13 kepada Daniela Monteiro Dodean dari Romania dan tunduk 2-11, 2-11, 4-11 di tangan juara dunia dua kali, Zhu Yuling dari China, dalam perlawanan terdahulu.

Malaysia diberi peluang beraksi dalam Divisyen Satu yang turut dikenali sebagai Divisyen Kejuaraan atas tiket tuan rumah.

Selepas ini, skuad wanita negara akan menentang Hungary pada Selasa diikuti Sepanyol pada Rabu, bagi menamatkan cabaran dalam Kumpulan A.

Pencapaian terbaik skuad wanita negara di kejohanan ini adalah pada edisi 2000 ketika Malaysia menjadi tuan rumah, dengan menduduki tangga ke-16 manakala pada edisi terakhir pada 2014, mereka menghuni tempat ke-33. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: ping pong , WTTC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan