MSN Terima Peletakan Jawatan Ballard Pengarah Teknikal KOM

Diterbitkan: Rabu, 9 Disember 2015 8:19 PM

Robert J Ballard

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Majlis Sukan Negara (MSN) menerima keputusan Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard,meletakkan jawatan pada 8 Disember lepas.   

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, walaupun ada sedikit perselisihan faham antara Ballard dan KOM, jasanya tidak akan dilupakan.   

"Selama beliau berada bersama kami, umumnya beliau sudah sumbangkan sesuatu kepada kita dan saya ucapkan selamat maju jaya kepada Ballard untuk tugas baharunya selepas ini.   

"MSN sedia maklum beliau dapat kerja dengan pemain tenis India, Sania Mirza dan kita beri kebenaran kepadanya untuk tamatkan kontrak lebih awal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Wisma FAM, Khamis.

Bekas atlet Olimpik Australia itu diberi kontrak dua tahun oleh MSN bermula pada 1 Februari tahun lepas dan kontrak berkenaan akan dinilai selepas tempoh dua tahun.

Kontrak Ballard bersama KOM sepatutnya tamat pada 31 Januari 2016 namun MSN bersetuju menamatkannya pada 8 Disember lalu.   

Mengulas mengenai prestasi atlet muda olahraga, Ahmad Shapawi berkata keseluruhan peningkatan atlet menerusi program 'Kita Juara' sudah jelas dan pihaknya kini sudah mengenal pasti atlet untuk mewakili negara ke Sukan SEA 2017,di mana Malaysia menjadi tuan rumah.   

Kesemua jurulatih sudah menjalankan tugas masing-masing tetapi MSN masih memerlukan beberapa kepakaran untuk program olahraga bagi memastikan ia dapat berjalan dengan sempurna dan menghasilkan atlet berkualiti.-Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan