Todt Dikecam, Anggap Serangan Paris Umpama Kemalangan Jalan Raya

Diterbitkan: Ahad, 15 November 2015 8:22 AM

(Ubah saiz teks)

PRESIDEN badan pengelola Formula One (FIA), Jean Todt, dikecam kerana mengambil mudah insiden seragan pengganas di Paris dengan membandingkannya seperti kemalangan jalan raya.

Dia juga dilaporkan tidak sependapat dengan ketua pegawai eksekutif badan itu, Bernie Ecclestone, yang mahu pertandingan Grand Prix Brazil pada Ahad mengadakan detik bertarakur seminit sebelum perlumbaan bermula.

Bercakap kepada stesen televisyen Canal+, Todt berkata, dia sedih dengan kejadian berdarah di kota raya Paris itu, namun bertanya sama ada orang ramai sedar jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya jauh lebih tinggi berbanding serangan pada Jumaat itu.

"Adakah anda tahu nyawa yang melayang dalam kemalangan jalan raya adalah lebih ramai daripada orang yang mati di Paris?" katanya.

Ekoran kenyataan itu orang ramai menganggap Todt, 69, sebagai tokoh yang tidak sensitif walaupun tujuannya adalah baik - mahu mempromosikan kempen keselamatan jalan raya.

Tambahan pula dia sendiri adalah warga Perancis dan ibu pejabat FIA juga terletak di Paris.

Todt memang sudan lama mahu mengadakan detik bertafakur seminit bagi memperingati mangsa kemalangan jalan raya.

Ia mungkin diadakan menjelang perlumbaan di Brazil dan disekalikan untuk mangsa serangan di Paris.

Bagaimanapun Ecclestone membantahnya kerana dia mahu tafakur itu dibuat semata-mata untuk menghormati mangsa serangan di Paris.

Todt berkata, mereka sudah merancang sesuatu untuk memperingati mangsa kemalangan jalan raya.

"Setiap hari di atas jalan raya kita, 3,500 orang terbunuh. Di sana setiap hari ada 30 orang lebih meninggal dunia berbanding pembunuhan di Paris. 

"Kami memutuskan untuk bertafakur seminit dan sudah tentu kita tidak mengabaikan apa yang berlaku di Paris," katanya.

Todt juga berkata, adalah salah untuk FIA melakukan sesuatu yang istimewa hanya kerana ibu pejabatnya terletak di Paris. 

"Apa yang berlaku di Paris menyedihkan dan ganas tetapi ia boleh berlaku di mana-mana saja di dunia ini. Kami berharap ia tidak berulang.

"Tidak wajar mengaitkan ibu pejabat FIA di Paris dengan tragedi semalam," katanya.


Tags / Kata Kunci: Jean Todt , Paris , Brazil FIA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan