Logo, Maskot Dan Tema Rasmi Sukan SEA 2017 Dilancar

Diterbitkan: Sabtu, 14 November 2015 9:01 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Logo rasmi, maskot serta tema temasya Sukan SEA ke-29 dilancarkan pada Sabtu malam dalam acara gemilang oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Tema yang dipilih untuk temasya Kuala Lumpur 2017 ialah 'Bangkit Bersama', seiring dengan cabaran yang perlu ditempuhi oleh negara-negara Asia Tenggara sebagai satu komuniti pada masa kini dan akan datang.

Sementara reka bentuk logo temasya, yang dipilih daripada 174 penyertaan pertandingan mencipta logo tahun ini, adalah berdasarkan kepada simbol Wau Bulan, layang-layang yang terkenal dimainkan oleh penduduk Pantai Timur.

Kombinasi warna yang digabungkan pada logo berkenaan pula mewakili warna-warni panji-panji semua negara Asia Tenggara, sekali gus melahirkan identiti Kuala Lumpur 2017. 


  

Bagi temasya berkenaan, maskot yang diberi nama 'Rimau' dipilih bersandarkan kepada kekuatan spesies harimau tempatan, Harimau Malaya.  

Pada majlis itu, pendaftaran sukarelawan, yang menjadi nadi utama kelancaran sesebuah temasya sukan, turut dilancarkan. 

Sasaran awal ialah mendapatkan sejumlah 20,000 sukarelawan untuk menjayakan temasya itu dengan pendaftaran menggunakan aplikasi di media sosial, platform yang melewati semua peringkat masyarakat tanpa mengira usia dan geografik.  

Mereka yang berminat untuk mendaftar boleh melayari laman sesawang rasmi temasya di www.seagames2017.com.my.
Tags / Kata Kunci: Sukan SEA 2017 , maskot , logo

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan