PKBM Sedia Jalin Kerjasama Jangka Panjang Dengan KBS

Diterbitkan: Khamis, 12 November 2015 9:11 PM

Abu Samah Abd Wahab

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyambut baik cadangan untuk memperkasakan semula pembangunan skuad lebuh raya Malaysia dan sedia bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) demi masa depan sukan berbasikal di negara ini.

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata pihaknya sememangnya sudah lama menanti satu 'isyarat menarik’ daripada KBS atau Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memperkasakan kembali program pembangunan skuad lebuh raya.

"Kami sambut baik cadangan KBS yang mahu merangka semula program lima tahun bagi skuad lebuh raya Malaysia. Cadangan ini bakal menyaksikan kebangkitan semula Malaysia sebagai antara kuasa terbesar dalam acara lebuh raya di Asia,"katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) percaya cadangan terbaharu KBS itu bakal menyaksikan skuad lebuh raya kembali menyertai acara lepas beramai-ramai elit lelaki secara merit pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

Buat masa ini, katanya Malaysia berada pada kedudukan ketujuh ranking berpasukan Asia walaupun sebelum ini skuad lebuh raya sentiasa berada dalam kelompok lima teratas bersama Kazakhstan, Iran, Jepun dan Korea Selatan.

"Saya percaya sasaran terbesar kita adalah untuk kembali sertai Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. Ini sasaran paling realistik selepas kita hampir pasti tidak akan sertai acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil," katanya.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) menjelaskan selama ini, PKBM masih berupaya melaksanakan beberapa program pembangunan, selain menghantar pelumba menyertai kejohanan di luar negara seperti Jelajah Thailand, Jelajah Korea dan Jelajah Fuzhou 2015.

Beliau berkata skuad lebuh raya Malaysia sering merasakan mereka kurang mendapat perhatian daripada MSN berbanding pelumba trek yang menerima layanan istimewa sepanjang tahun.

"Perlu diingatkan, kita mesti terus bantu skuad lebuh raya untuk maju. Sebagai contoh, skuad lebuh raya dan pasukan trek Thailand menerima bantuan yang sangat besar bagi memastikan mereka mampu menjadi pasukan nombor satu di Asia Tenggara kelak.

"Saya bimbang skuad lebuh raya Malaysia akan tenggelam dan terus tenggelam sekiranya mereka dianaktirikan oleh semua pihak," katanya.

Tags / Kata Kunci: PKBM , Datuk Abu Samah Abd Wahab

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan