Setiap Pemain THT Terima Imbuhan RM20,000 Serta Umrah

Diterbitkan: Rabu, 23 September 2015 6:29 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Setiap pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) menerima RM20,000 serta insentif mengerjakan umrah atau melancong atas kejayaan muncul juara berganda Liga Hoki Malaysia (TNB-MHL) dan Piala TNB baru-baru ini.

Insentif itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahmansebagai suntikan semangat kepada pemain dan pegawai kerana mengekalkan kemenangan berganda yang dimenangi tahun lepas.

"Ia sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada semua pemain dan pegawai Persatuan Hoki Terengganu yang berjaya mengharumkan nama Terengganu dipersada hoki negara," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman pada Rabu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda dan jurulatih THT, Sarjit Singh.

Menurut Ahmad Razif, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM1 juta untuk tujuan insentif tersebut termasuk kos mengerjakan umrah atau melancong yang sama nilainya dengan umrah bagi pemain dan pegawai bukan Islam.

Pada 4 September lepas, THT muncul juara Liga Hoki Malaysia TNB-MHL setelah menundukkan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 5-4 dalam perlawanan terakhir mereka di liga itu.

Ahad lepas, THT yang bertemu KLHC dalam aksi final Piala TNB, sekali lagi menewaskan pasukan ibu kota itu menerusi penentuan penalti 5-4 selepas kedudukan terikat 1-1.

Untuk rekod, tahun lepas semua pemain menerima insentif RM8,000 seorang daripada kerajaan negeri dan lawatan ke Eropah apabila mencipta sejarah tersendiri muncul juara berganda liga TNB-MHL dan Piala TNB. 

Tags / Kata Kunci: Pasukan Hoki Terengganu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan