Khairy Mungkin Cari Penganjur Baharu Le Tour de Langkawi

Diterbitkan: Rabu, 23 September 2015 5:37 PM

Khairy (kanan) bersama Abdul Malik ketika melancarkan laluan LTdL 2015 baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Berikutan kos penganjuran acara lumba berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) semakin meningkat, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan mempertimbangkan sama ada meningkatkan geran kerajaan atau mencari penganjur baharu bagi LTdL 2016.

"Saya sedang membuat pertimbangan kerana penganjur menyatakan mereka tidak dapat menganjurkannya dengan geran RM10 juta ekoran peningkatan kos dan kadar tukaran wang asing.

"Bagi menganjurkan LTdL, kita kena bayar yuran penampilan kepada pasukan bertaraf antarabangsa. Kalau tidak, kita tidak dapat (menganjurkan) acara bertaraf dunia.

"Apabila nilai mata wang asing meningkat, kos pun melambung tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Festival Score FitMob di Kolej Universiti KDU, di pada Rabu.

Khairy berkata kos penganjuran jelajah bernilai RM20 juta itu dikurangkan kepada RM10 juta tahun lepas, selepas penganjur swasta Human Voyage Sdn Bhd yang di­naungi Datuk Abdul Malik Mydin, dilantik bagi menganjurkan perlumbaan itu.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2015 yang dijadualkan dari 18 hingga 24 Oktober, dibatalkan berikutan penganjur yang sama itu tidak mampu mencari dana mencukupi.

"Malik datang jumpa saya, beliau kata dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik, beliau ada masalah dengan penajaan dan terpaksa batalkan acara itu," katanya.

Tags / Kata Kunci: LTdL , Khairy Jamaluddin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan