Walsh Diberi KPI Bawa Skuad Negara Dalam Kelompok 10 Dunia

Diterbitkan: Khamis, 20 Ogos 2015 10:45 PM

(Ubah saiz teks)

BANGI: Pengarah Teknikal baharu skuad hoki kebangsaan,Terence Author Walsh atau Terry Walsh akan diberikan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan skuad negara berada dalam kelompok 10 pasukan terbaik dunia.


Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata beliau meletakkan KPI itu supaya Walsh menyediakan pelan tindakan berkesan untuk masa depan skuad negara, selain pasukan kebangsaan dapat mengekalkan kejayaan berterusan.

"Bulan depan, saya akan umumkan KPI semua jurulatih dan Terry sendiri. Setakat ini saya boleh katakan Terry perlu memastikan skuad negara berada dalam kelompok 10 terbaik dunia," katanya kepada pemberita Khamis.

Beliau ditemui pada majlis pecah tanah pembinaan Stadium Hoki Tengku Abdullah di Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute di sini.

Pelantikan Walsh sebagai Pengarah Teknikal berkuat kuasa 15 Ogos lepas, dengan kontrak dua tahun dan pilihan lanjutan dua tahun.

Beliau merupakan ketua jurulatih skuad negara dari 1990 hingga 1993. Walsh membimbing India untuk layak ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan memenangi pingat emas Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tahun lepas.

Mengenai pelantikan ketua jurulatih baharu pasukan lelaki kebangsaan, Subahan berkata beliau menyerahkan kepada jawatankuasa kejurulatihan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, jurulatih Arul Selvaraj akan kekal mengendalikan skuad remaja untuk menghadapi Piala Remaja Asia, di Kuantan pada November ini.

"Terry telah berbincang dengan Arul untuk memperbaiki prestasi skuad remaja bagi menghadapi Piala Remaja Asia nanti. Kami (KHM) akan memberi sokongan kepada Arul...buat masa ini beliau perlu bersama pasukan remaja," kata Subahan. 

Tags / Kata Kunci: Terry Walsh , KHM , Datuk Seri Subahan Kamal

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan