PCA Tidak Boleh Lari Daripada Tanggungjawab Kerosakan Velodrom Rakyat

Diterbitkan: Khamis, 6 Ogos 2015 6:34 PM

Khairy Jamaluddin

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Persatuan Berbasikal Perak (PCA) tidak boleh lari daripada tanggungjawab terhadap kerosakan Velodrom Rakyat walaupun kemudahan itu di bawah seliaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

"Saya faham MBI selaku tuan punya velodrom harus menjaga kemudahan ini, tetapi persatuan sukan juga tidak boleh ambil sikap bahawa mereka langsung tidak ada tanggungjawab terhadap kemudahan yang mereka gunakan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PCA, Datuk Amarjit Singh Gill yang mendakwa Khairy tersilap apabila mengatakan PCA yang membenarkan kerosakan itu berlaku.

Khairy juga kesal dengan sikap persatuan itu yang hanya datang mendapatkan pertolongan kerajaan setelah velodrom mengalami kerosakan teruk.

Katanya, PCA, yang telah menggunakan velodrom itu kira-kira 20 tahun, sepatutnya mempunyai perancangan untuk mengumpul dana atau mengambil langkah mendapatkan peruntukan supaya penyelenggaraan kemudahan itu dapat dibuat dari semasa ke semasa.

"Mereka tahu MBI terhad daripada segi dana untuk penyelenggaraan tetapi apa yang mereka buat sebagai persatuan? Adakah hanya berpeluk tubuh menunggu MBI melakukannya dan apabila gagal, mengadu kepada kerajaan persekutuan sambil mahu kerosakan itu dibaiki segera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Gamuda Berhad di sini, Khamis.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata kerja mengubahsuai Velodrom Rakyat di Ipoh itu yang tertangguh sejak 2013, akan dimulakan seawal-awalnya tahun depan sambil menjelaskan kelewatan berpunca daripada kekangan kewangan.

Sementara itu, Khairy berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali berhubung kesediaannya membantu pelumba muda negara, Jazeman Jaafar mendapatkan dana bagi mencapai cita-cita beraksi dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim depan.

Katanya, dalam suasana penajaan acara sukan yang sangat mencabar berikutan situasi semasa ekonomi, kesediaan itu merupakan satu tugas sukar lebih-lebih lagi perbelanjaan yang diperlukan melebihi RM60 juta setahun.

"Ia satu tugas sukar namun tidak mustahil boleh direalisasikan kerana kita memang ingin melihat seorang pemandu F1 Malaysia yang kompetitif yang tentunya memerlukan peruntukan besar," katanya.

Menurut Razlan, antara perkara yang boleh dilakukan ialah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan mengenai dana diperlukan Jazeman seperti yang pernah dilakukan untuk pelumba Moto3, Zulfahmi Khairuddin.

Namun beliau mengakui kos berkenaan tidak mencecah seperti diperlukan Jazeman.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Velodrom Rakyat , MBI , Khairy Jamaluddin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan