Muhyiddin Mahu Malaysia Juara Keseluruhan Sukan SEA 2017

Diterbitkan: Ahad, 14 Jun 2015 1:18 PM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Malaysia muncul juara keseluruhan pada Sukan SEA 2017 apabila menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu.

Justeru itu, beliau berkata program pembangunan dan latihan berprestasi tinggi untuk atlet negara perlu dipertingkatkan lagi mulai sekarang.

"Kita (Malaysia) kena meningkatkan lagi program pembangunan atlet kita dari sekarang dengan memberi tambahan latihan prestasi tinggi. Bukan sahaja di pihak kerajaan, kita perlu bantuan bukan sahaja daripada persatuan-persatuan sukan tetapi juga pihak penaja untuk program latihan.

"Program latihan ini bukan sahaja di dalam negara malahan juga di luar  negara, apa yang penting ialah menambah pendedahan atlet untuk bertanding di peringkat antarabangsa sepertimana yang telah dilakukan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Malaysia di sini, Ahad selepas menyaksikan acara boling Masters Wanita pada Sukan SEA Ke-28 yang sedang berlangsung di republik ini.

Muhyiddin yang ditemani isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman meluangkan masa hampir setengah jam di pusat boling Orchid Bowl, Orchid Country Club, Yishun.

Selain acara boling, Muhyiddin juga dijadual menyaksikan beberapa acara lain yang melibatkan atlet Malaysia seperti gimnastik berirama, badminton, memanah dan pencak silat.

Muhyiddn berkata sebagai tuan rumah pada 2017 nanti, sasaran pingat perlu berdasarkan kepada situasi semasa acara sukan dan pencapaian atlet negara.

"Tidak mustahil jika diletakkan sasaran seperti ini (untuk muncul juara keseluruhan) dapat dicapai," katanya.

Untuk rekod, Malaysia mucul sebagai juara keseluruhan temasya Sukan SEA ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 2001 dengan mengumpul 111 pingat emas, 98 perak dan 86 gangsa.

Dari segi penganjuran pula, Muhyiddin berkata Malaysia boleh belajar daripada Singapura khususnya dalam memberikan standard yang terbaik atau amalan terbaik sebagai penganjur.

"Kita tidak boleh beri standard yang rendah daripada apa yang diberikan di sini," katanya.

Beliau mengambil contoh penggunaan teknologi digital dalam semua acara yang dipertandingkan, kemudahan venue dan kemudahan-kemudahan untuk atlet sebagai penanda aras untuk Malaysia guna pakai pada 2017 nanti.

Muhyiddin turut meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian atlet Malaysia pada temasya kali ini khususnya dalam kalangan atlet pelapis yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang dan meraih pingat emas.

"Masih ada ruang untuk kontinjen negara meraih pingat emas kerana semangat atlet kita cukup tinggi," katanya.

Setakat ini Malaysia meraih 47 pingat emas, selepas menambah dua lagi  pingat emas hari ini melalui acara pencak silat dan memanah.

Tags / Kata Kunci: Sukan SEA , Singapura

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan