Pakaian Ikut Standard, Farah Ann Harumkan Nama Negara

Diterbitkan: Ahad, 14 Jun 2015 10:07 AM

Farah Ann

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Gimnas negara yang menang pingat emas di Sukan SEA Singapura, Farah Ann Abdul Hadi tidak sepatutnya dikritik kerana memakai leotard yang mengikut standard yang diluluskan, kata ketua kontinjen negara.

Ketua Kontinjen Negara, Datuk Seri Mohammad Norza Zakaria adalah yang terkini tampil mempertahankan atlet berkenaan.

Norza berkata Farah Ann telah memenangi beberapa pingat termasuk dua pingat emas untuk pasukan.

"Bagi saya, dua anak perempuan Abdul Hadi, Farah Ann dan Katrina telah banyak menyumbang untuk negara. Kedua-dua mereka memenangi sejumlah enam pingat untuk kontinjen dan mereka tidak layak menerima kritikan sedemikian.

"Saya rasa semua orang patut memberikan kredit yang sewajarnya, daripada berkata perkara-perkara yang tidak membantu," katanya, Sabtu.

Setiausaha Persekutuan Gimnastik Malaysia N. Shanmugarajah berkata: "Leotard yang dipakai gimnas negara telah mendapat kelulusan FIG (Persekutuan Gimnastik Antarabangsa) dan anda perlu memakainya jika ingin bertanding."

Walaupun berjaya memenangi dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa, pencapaian Farah Ann yang terbaik setakat ini telah dicemari kritikan berikutan pakaiannya.

Dalam apa yang kelihatan seperti jawapan, atlet berusia 21 tahun itu menulis di Twitter bahawa 'tin-tin kosong yang membuat bising', sebelum mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokongnya.

"Saya sangat-sangat menghargainya. Sayang anda semua," katanya.

Farah Ann juga melakukan 'retweeted' (tweet semula) sebuah posting yang ditulis: "Bagaimana manusia boleh menjadi begitu bodoh?"

Tweet-tweet lain terus ditulis, menggalakkan beliau untuk mengabaikan para pengkritik.

"Abaikan mereka yang membenci dan nikmatilah saat-saat ini," Far Han menulis di Twitter sebagai respons kepada tweet Farah Ann.

Amir Zamri menulis: "Jadi diri sendiri. Abaikan semua komen yang buruk tentang anda. Kebanyakan daripada kami masih menyokong anda."

"Terima kasih kerana membuatkan Malaysia bangga di Sukan SEA. Itu yang penting! Teruskan usaha," kata Adam Sanwar.

Seorang pengguna yang dikenali sebagai Aryssa Fahmy berkata: "Jadi, apa yang anda harap dia pakai? Baju kurung untuk dia melakukan semua aksi?"

Aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir berkata serangan terhadap Farah Ann adalah tanda bagaimana negara ini berada dalam bahaya dengan adanya unsur-unsur 'kebodohan'.

"Tidak, saya tidak fikir kita akan menjadi negara Taliban lagi. Kita akan menjadi negara bodoh terlebih dahulu," Marina dilaporkan berkata ketika perbincangan panel di Festival Cooler Lumpur, Sabtu.

Ketika dihubungi selepas itu, Marina berkata, melalui komennya, dia mahu menunjukkan bagaimana sesetengah orang hanya berminat untuk mencari kesalahan dan bukannya meraikan pencapaian.

"Bagi mereka, seseorang itu tidak boleh dibenarkan untuk berjaya. Mereka mesti dijatuhkan tanpa sebab yang benar," katanya.

Beliau juga mencabar pengkritik Farah Ann supaya mencerminkan diri mereka sendiri sebelum mencari kesalahan orang lain.

Dalam halaman Facebook pada Sabtu, Marina bertanya: "Jadi, kepada mereka yang menghabiskan masa mereka melihat aurat atlet, apa sebenarnya yang telah mereka lakukan untuk mengharumkan nama negara?"

Walau bagaimanapun, mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria dilaporkan berkata bahawa gimnastik bukanlah sukan yang sesuai untuk wanita Islam kerana mereka akan menunjukkan aurat dan bentuk badan, yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

"Jika mereka masih mahu mengambil bahagian, gimnas mesti memakai pakaian yang menutup aurat, yang mungkin tidak sesuai untuk sukan ini," katanya.

Tambahnya, begitu juga untuk sukan lain seperti bola sepak, di mana pemain lelaki perlu memakai seluar pendek yang di bawah paras lutut.
Tags / Kata Kunci: Farah Ann , gimnastik , leotard

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan