Harumanis Adventure Trail Run Tawar Hadiah Lebih RM10,000

Diterbitkan: Isnin, 20 April 2015 5:55 PM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Perlumbaan lasak 'Harumanis Adventure Trail Run 2015' sejauh 10 kilometer yang bakal julung kali diadakan pada Ahad ini menawarkan hadiah berjumlah lebih RM10,000 untuk direbut.

Program anjuran bersama Kerajaan Negeri Perlis dan Tourism Malaysia dengan kerjasama 73 Sports Management turut menyediakan cabutan bertuah yang ditaja oleh syarikat korporat untuk peserta.

Menurut kenyataan penganjur hari ini, hampir 300 peserta termasuk dari Kenya, Australia, Filipina, Perancis, Greece dan Thailand mendaftar untuk menyertai larian itu.

Peserta iaitu dua orang setiap kumpulan akan menyusuri laluan berbukit dan sawah padi bermula di Pusat Rekreasi Sungai Batu Pahat pada pukul 7 pagi dan berakhir di tempat sama.

"Peserta akan diberikan empat tugasan sepanjang larian dan juga dikehendaki mempromosikan produk pelancongan Perlis serta melakukan aktiviti bersama masyarakat tempatan," tambah kenyataaan itu.

Pertandingan dibahagi kepada kategori terbuka (18 hingga 44 tahun) dan veteran (45 tahun ke atas). - Bernama



iklan

Kolumnis

iklan

Iklan