Malaysia Idam Permulaan Baik Ahad

Diterbitkan: Sabtu, 4 April 2015 5:47 PM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Malaysia memerlukan suntikan ajaib apabila berdepan dengan New Zealand pada perlawanan pertama dalam kempen Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2015 di sini, Ahad.

Walaupun New Zealand, selaku pasukan ranking ketujuh dunia, bakal menyajikan mimpi ngeri buat skuad negara, namun jurulatih negara Tan Beng Hai menyimpan hasrat memulakan kempen dengan nota cemerlang.

Mengakui bukan mudah berdepan dengan pasukan Kiwi itu tetapi Beng Hai optimis anak didiknya mampu beraksi dengan cemerlang pada perlawanan pukul 8.10 malam di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah di sini.

Hasil pemerhatian selepas skuad negara kalah 1-0 kepada New Zealand pada perlawanan persahabatan di sini, Khamis lepas, katanya pasukan lawan itu mantap dari segi fizikal, rentak permainan teratur dan jentera serangan berbisa.

"Jadi, kita harus memberikan 100 peratus konsentrasi yang penuh terutamanya dari segi pertahanan pada perlawanan esok," katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Sementara itu, ketua pasukan Muhammad Razie Abdul Rahim juga tidak meletakkan harapan tinggi terhadap perlawanan esok tetapi sudah bersedia untuk berdepan dengan pasukan itu.

"Yakin menang itu ada tapi tidak terlalu tinggi. Kami pun dalam proses persiapan untuk Liga Hoki Dunia, jadi boleh katakan kami sepasukan sudah bersedia untuk main pada perlawanan pertama esok," katanya.

Selain Malaysia dan New Zealand, kejohanan berprestij itu turut disertai oleh pasukan nombor satu dunia, Australia, Kanada, Korea Selatan dan India.

Jadual Esok: Australia mln Kanada - 4.10 petang/ Korea Selatan mln India - 6.10 petang/ MALAYSIA mln New Zealand - 8.10 malam. -- Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan