Anugerah SAM-100Plus: Nicol Dinobatkan Atlet Terbaik Kali Kedua

Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 6:51 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seperti diduga, ratu skuasy negara, Datuk Nicol David berjaya merangkul  gelaran Anugerah Atlet Terbaik Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100 PLUS untuk kali kedua pada majlis yang berlangsung di Hotel Hilton Petaling Jaya pada Rabu.

Pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 31 tahun itu mengetepikan pencabar terdekat dalam pencalonan utama iaitu atlet bina badan Sazali Samad yang meraih gelaran ini tahun lalu.

Catatan kejayaan Nicol musim lalu begitu membanggakan apabila merekodkan gelaran dunia buat kali kelapan dengan penuh bergaya.

Selain mempertahankan status sebagai pemain No.1 dunia, Nicol juga turut merangkul kejuaraan Terbuka Britain dan juga Kejohanan Terbuka Hong Kong.

Malah Nicol juga meraih emas dalam acara individu dan berpasukan pada Sukan Asia di Incheon.

Sebagai rekod, Nicol meraih anugerah ini buat kali pertama pada tahun 2005.

Selain itu, turut berlangsung anugerah kepada penulis-penulis sukan yang dipilih berdasarkan laporan terbaik tahun lalu.

Wartawan Kosmo (media cetak), Mohd Ikhsan Firdaus Azm menerima Anugerah Laporan Berita Terbaik manakala bagi media elektronik dirangkul oleh wartawan TV3, Hasnida Hanim Ahmad Kamil dan Mohd Suhaili Sulaiman.

Anugerah Komentar Terbaik (media cetak) dimenangi oleh wartawan The Malay Mail, Haresh Singh dan (elektronik) Mohd Lufti Ku Yahya serta Japeridin Sampol (RTM).

Bagi Laporan Khas Terbaik menjadi milik individu tidak asing dalam dunia sukan iaitu Mohd Rizal Hashim (Astro Digital Publication) manakala Anugerah Foto Terbaik dirangkul oleh Mohd Hizami Roslan dari asiana.my.

Tags / Kata Kunci: Anugerah SAM-100plus , Nicol David

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan