Anugerah MSSM-Milo Pembakar Semangat Atlet Muda Negara

Diterbitkan: Selasa, 3 Mac 2015 8:36 PM

Penerima Anugerah MSSM-Milo bersama Muhyiddin pada majlis yang berlangsung di Putrajaya, Selasa.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Atlet remaja taekwondo, Muhammad Syamil Hafiy Md Adnan yang menerima Anugerah Khas (Putera) kini semakin bersemangat untuk memenuhi cita-citanya beraksi mewakili negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Penerima Anugerah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM)-Milo 2014 itu menganggap penghargaan yang diterima sebagai pembakar semangat dan dorongan untuk dirinya lebih gigih berusaha bagi memperbaiki prestasinya dalam acara yang diminati itu.

Pelajar Sekolah Sultan Alam Shah berusia 13 tahun itu merekodkan pencapaian terbaik di peringkat global apabila memenangi pingat emas dalam Kejohanan Kelab Taekwondo Antarabangsa ke-13 di Australia.

“Pencabar terhebat saya ketika kejohanan berlangsung adalah peserta dari Pakistan kerana pemarkahan yang diberikan pengadil sangat sengit dengan hanya perbezaan satu mata sahaja,” katanya ketika ditemui sebaik menerima anugerah berkenaan di sini, Selasa.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, beliau mengagumi Servet Tazegul, ahli taekwondo kelahiran Turki yang berjaya mendapat tempat pertama di Sukan Olimpik London 2012.

Anugerah MSSM-Milo diadakan setiap tahu bagi menghargai golongan atlet dan guru yang menjulang nama negara dalam sukan di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejohanan MSSM adalah landasan untuk menilai serta mengasah bakat atlet muda supaya dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Anugerah disampaikan Ketua Serantau, Nestle Malaysia, Singapura dan Brunei, Alois Hofbauer.

Sementara itu, pemenang pingat emas acara wushu Kejohanan Olimpik Remaja di Nanjing, China, Loh Ying Ting, 18 dipilih untuk menerima Anugerah Khas (Puteri) pada majlis sama.

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu adalah satu-satunya atlet muda yang berjaya merangkul hampir kesemua pingat emas di beberapa kejohanan seperti Sukan SEA, Sukan Malaysia dan Kejohanan Remaja Kebangsaan yang berlangsung pada 2014.

"Saya berasa gembira dengan anugerah ini yang akan meningkatkan semangat bersaing. Saya akan berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk mencatat pencapaian yang lebih baik pada kejohanan akan datang," katanya yang menjadi johan dalam acara Chang Quan dan Gun Shu pada Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-5 tahun lepas.

Selain itu, Anugerah Tunas Harapan diberikan kepada atlet skuasy berusia 13 tahun, Kiven Shanmugam yang memegang pingat perak di Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka British dua tahun berturut-turut.

Minat mendalam terhadap acara skuash mendorong anak jati Alor Setar, Kedah itu berusaha memperbaiki mutu permainannya, selain memberi tumpuan dalam bidang akademik bagi memenuhi cita-cita untuk menjadi seorang doktor.

“Semestinya Datuk Nicol Ann David adalah idola saya dan saya ingin menjadi handal sepertinya.

“Ibu bapa dan jurulatih merupakan tunggak utama yang sentiasa memberi dorongan dan bimbingan sehingga saya berjaya ke hari ini,” kata anak pasangan juruteknik dan guru yang kini belajar di Kolej Sultan Abdul Hamid.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan