Kejohanan Golf Trofi Mercedes 2015 Janjikan Kemeriahan Luar Biasa

Diterbitkan: Selasa, 3 Mac 2015 6:02 PM

Mercedes-benz E 300 Blue Tech Hybrid yang bakal dimenangi pemenang pertama Kejohanan Golf Mercedes 2015.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kejohanan Golf Trofi Mercedes 2015, yang mengandungi lapan pusingan kelayakan dari 2 April hingga 28 Mei ini, dijangka lebih meriah daripada edisi sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Roland Folger berkata, kejohanan yang diadakan eksklusif untuk semua pelanggan syarikat ini bertujuan menghargai keyakinan berterusan mereka terhadap produk dan perkhidmatannya.

"Memandangkan lebih banyak penaja terlibat dengan kejohanan tahun ini, kami menjangka ia akan lebih meriah daripada kejohanan sebelumnya dan setiap tahun, kami mendapat respons menggalakkan daripada pelanggan kami," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

"Kami juga membuat penilaian tentang kualiti kejohanan ini dengan penaja kami setiap tahun untuk memastikan ia mengekalkan standard tertinggi," kata Folger.

Roland Folger

Kejohanan edisi ke-25 ini mengandungi empat kategori -- Kategori A (handicap 0-12), Kategori B (handicap 13-20), Kategori C (handicap 21-24) bagi lelaki dan Kategori D (handicap 0-36) untuk wanita.

Tiga pemenang teratas daripada setiap kategori pusingan kelayakan akan bersaing pada Peringkat Akhir Kebangsaan pada 11 Jun di Saujana Golf  and  Country Club, Subang.

Dua pemenang teratas daripada kategori handicap lelaki dan wanita akan mara ke perlawanan akhir rantau Asia di Sanctuary Cove, Australia dari 11 hingga 14 Ogos, dengan semua perbelanjaan ke sana, ditanggung.

Pemenang dalam setiap kategori handicap pada perlawanan akhir peringkat rantau Asia pula akan melayakkan diri ke Perlawanan Akhir Trofi Mercedes Dunia di Stuttgart, Jerman dari 1 hingga 6 Oktober.

Sebuah kereta Mercedes-Benz E 300 BlueTEC Hybrid berharga RM348,888 menunggu pemain pertama yang membuat 'hole-in-one' pada mana-mana daripada dua lubang 3- par yang ditetapkan.

Mereka yang ingin menyertai kejohanan ini boleh memuat turun borang penyertaan daripada laman sesawang Mercedes Benz Malaysia di alamat www.mercedes-benz.com.my serta mengisi dan mengemukakannnya berserta bayaran penyertaan RM380.

Pusingan Kelayakan: 

Dalit Bay Golf  and  Country Club, Sabah (2 April)/Samarahan Golf Club, Sarawak (9 April)/Penang Golf Club, Pulau Pinang (7 Mei)/Saujana Golf  and  Country Club, Selangor (13 dan 14 Mei)/Horizon Hills Golf  and  Country Club, Johor (19 Mei) dan Kota Permai Golf  and  Country Club, Selangor (27 dan 28 Mei).


Tags / Kata Kunci: golf , Mercedes , Roland Folger

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan