Basikal: 2015 Tahun Penting Buat Adiq

Diterbitkan: Rabu, 28 Januari 2015 8:52 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelumba skuad lebuh raya kebangsan, Mohammed Adiq Husainie Othman menganggap 2015 merupakan tahun penting buat dirinya.

Jelas Adiq, dia dan pasukannya perlu bekerja keras untuk mengutip mata dalam setiap kejohanan yang disertai bagi memastikan layak beraksi pada Sukan Olimpik di Brazil tahun hadapan.

Untuk itu, Adiq yang kini beraksi bersama pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) mula menjalani latihan sejak Oktober lalu.

"Saya yakin tahun ini merupakan masa yang tepat untuk saya mempamerkan aksi lebih baik bagi mencapai sasaran podium pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) Mac ini.

"Persediaan pasukan dilakukan dengan rapi sejak beberapa bulan ini untuk mengharungi beberapa perlumbaan penting tahun ini.

"Sebelum saingan LTdL bermula, kami akan menguji prestasi terlebih dahulu pada Jelajah Filipina pada 1 hingga 4 Februari ini," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Adiq,23, pernah menyertai kelab antarabangsa bersama Drapac-Porche Cycling (2010-11) dan Champion System (2012-13) sebelum bersama PSG di negeri kelahirannya, Terengganu.

Jelasnya, selepas bersaing di Filipina, dia turut menyertai pasukan kebangsaan pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Korat, Thailand.

"Di Filipina perlumbaan ada empat peringkat perlumbaan dan saya akan cuba untuk mengutip mata. Begitu juga dengan saingan ACC. Sebaik sahaja dua kejohanan itu berakhir, kami  akan terus ke Chiang Mai, Thailand bagi menjalani latihan terakhir sebelum LTdL bermula.

"Saya benar-benar mahu mengumpul mata sebanyak mungkin untuk mengisi slot ke Rio tahun depan.

"Setiap kutipan mata itu bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga untuk pasukan kebangsaan," jelasnya.

Tags / Kata Kunci: TSG , Adiq Husainie Othman

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan