PKBM Positif Status Penggantungan Bakal Berakhir

Diterbitkan: Khamis, 22 Januari 2015 5:13 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengakui lega selepas Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin akan menilai kembali proses penggantungan persatuan ini.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab berkata, berita itu ternyata menggembirakannya serta barisan kepimpinan persatuan itu.

"Setidak-tidaknya pengumuman itu telah memberi sinar baharu kepada kami untuk kembali bergerak secara aktif menjelang beberapa kejohanan  besar seperti Le Tour de Langkawi 2015 (LTdL) dan Sukan Sea 2015 di Singapura.

“Namun apa yang lebih penting pihak kementerian telah memberi jaminan untuk melihat kembali proses penggantungan PKBM. 

"Lebih penting lagi, penjelasan tersebut telah menjernihkan beberapa tuduhan yang dilemparkan kepada kami,” jelas dalam satu kenyataan pada Khamis.

PKBM digantung sementara gara-gara wujudnya kelemahan dalam tatacata pengurusan kewangan.Ia bermula berikutan kegagalan skuad lebuh raya negara memenangi pingat emas ketika temasya Sukan Sea Myanmar 2013 biarpun menerima  peruntukan bernilai jutaan ringgit yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setiap tahun.

Kegagalan itu menyebabkan Khairy mengarahkan unit Audit Dalaman KBS menjalankan siasatan ke atas PKBM untuk mengetahui jumlah sebenar peruntukan tahunan yang disalurkan kepada badan induk itu dan perbelanjaan yang digunakan mereka untuk program skuad lebuh raya negara.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menjelaskan pihaknya telah menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk menjawab semua persoalan yang dikemukakan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Malah, beliau menjelaskan PKBM sedia bekerjasama pada bila-bila masa sahaja pada hadapan demi memperbaiki dan melakukan penambah baikan dalam setiap permasalahan yang dikemukakan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Pada Rabu, Khairy menjelaskan bahawa pihaknya  bersedia mengkaji semula penggantungan PKBM selepas dikatakan berpuas hati dengan penjelasan persatuan tersebut dalam menjawab semua persoalan yang dikemukakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan.|

Khairy turut membayangkan bahawa tempoh penggantungan PKBM akan ditamatkan selepas berpuas hati dengan rumusan yang dibuat oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Dalam pada itu,  Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) percaya penjelasan bahawa tiada salah guna atau penyelewengan terhadap beberapa perbelanjaan khususnya penggunaan hadiah wang tunai kemenangan LTdL 2014.

“Sekarang tibalah masa untuk kembali bergerak secara aktif bagi menyemarakkan program pembangunan berbasikal Malaysia,” katanya.

Katanya juga, PKBM akan segera mengemukakan bajet perbelanjaan pembangunan ke atas pasukan kebangsaan yang bakal menyertai LTdL 2015 bermula 8 Mac ini.

“Penting bagi kami untuk mendapatkan dana pembangunan kerana sebelum ini Kabinet telah memberikan peruntukan untuk kami," tambahnya.

Tags / Kata Kunci: PKBM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan