MSA Terpaksa Batal Hasrat Penyertaan RLIR 2015

Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 9:59 PM

Tiang utama kapal pasukan MSA patah akibat angin kencang dan laut bergelora.

(Ubah saiz teks)

LANGKAWI: Pasukan MSA, yang mewakili Malaysia, terpaksa membatalkan hasrat terus bertanding dalam kategori Sportsboats pada Kejohanan Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) Ke-13 selepas tiang utama kapal mereka patah semasa menjalani sesi latihan pada Rabu. 

Nurul Elia Anuar, yang mengetuai pasukan MSA, berkata mereka terpaksa menamatkan perlumbaan RLIR tahun ini berikutan tiang utama kapal mereka patah akibat angin kencang dan laut bergelora.

"Semalam (Selasa) kami berjaya mendapat tempat pertama dalam perlumbaan pertama dan gagal meneruskan perlumbaan kedua. Jadi hari ini semua kru kapal bersemangat untuk meneruskan perlumbaan bagi menebus semula kesilapan yang berlaku semalam tetapi semuanya musnah begitu sahaja.

"Bila tiang utama patah, kami memang tidak dapat lakukan apa-apa kerana tidak mempunyai barang ganti. Semalam ada wayar yang putus akibat angin tetapi dengan keadaan ombak besar dan angin kuat memang tidak terkejut sekiranya perkara seperti ini boleh berlaku," katanya kepada pemberita di sini.

Nurul Elia berkata faktor penjagaan kapal juga menjadi punca utama tiang utama patah kerana kapal yang sudah mencecah usia 10 tahun itu tidak berada dalam keadaan yang baik.

Katanya, kapal yang digunakan mereka sudah berusia 10 tahun dan sebelum ini pasukan Selangor yang menggunakan kapal ini memberitahu selalu berdepan dengan masalah wayar putus kerana penyelengaraan kapal tidak dilakukan dengan baik.

"Mungkin bukan rezeki kami tahun ini tetapi saya minta kepada pihak penganjur supaya dapat menyediakan peralatan gantian kerana banyak peserta yang datang dari jauh sukar membawa peralatan ganti yang berat," katanya.

Katanya, beliau masih tidak pasti sama ada akan menyertai RLIR pada tahun hadapan tetapi sekiranya mempunyai peluang lagi dia akan datang untuk menebus kekalahan pada tahun ini.

Sebanyak 40 kapal layar Malaysia, Great Britain, Australia, Thailand, Singapura, Rusia, Austria, Denmark, China, Hong Kong, Itali, New Zealand dan Jepun bersaing dalam RLIR tahun ini, yang bermula semalam hingga Sabtu ini.

Tags / Kata Kunci: MSA , Regata

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan