Messi, Serena Lancar Kempen "1 Dalam 11"

Diterbitkan: Sabtu, 10 Januari 2015 10:57 AM

(Ubah saiz teks)

NEW YORK: Pemain bola sepak terkemuka, Lionel Messi dan bintang tennis, Serena Williams mempromosikan kempen bagi membantu kira-kira 58 juta kanak-kanak yang tidak bersekolah untuk mendapatkan pendidikan.

Sebagai duta muhibbah untuk Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), kedua-dua selebriti sukan itu melancarkan kempen itu pada Jumaat malam bersama Yayasan Kelab Bola Sepak Barcelona yang dibentuk pasukan Messi dan Reach Out To Asia yang juga sebahagian Yayasan Qatar untuk mempromosikan pendidikan.

Kempen "1 dalam 11" bermaksud satu bagi setiap 11 sekolah rendah akan ada kanak-kanak yang tidak bersekolah dan menyasarkan untuk membantu 500,000 golongan yang kurang bernasib baik di Bangladesh, Indonesia dan Nepal sebelum mengembangkan usaha itu ke negara lain.

Pembabitan Messi dan Williams menerusi kempen itu akan ditayangkan sebelum perlawanan antara Barcelona menentang Atletico Madrid pada Ahad ini.

Messi dalam kenyataannya menyokong kempen itu kerana percaya setiap kanak-kanak itu berhak untuk memenuhi impian mereka.

Bagi Williams pula, program itu perlu memastikan jumlah kanak-kanak yang tidak ke sekolah berakhir dengan angka sifar.

Jurucakap Unicef, Jeremy Hartley berkata, kempen itu berharap dapat mengumpul antara USD12 juta hingga USD15 juta menerusi projek lelongan hasil seni di Sotheby's di London pada 12 Februari ini.

Turut menyumbang hasil karya seni adalah pelukis terkemuka Britain, Damien Hirst selain Jeff Koons dan Richard Serra dari Amerika Syarikat dan Takashi Murakami dari Jepun.

Presiden FC Barcelona, Josep Maria Bartomeu berkata, kelab itu komited terhadap usaha itu dan setiap pemainnya menyumbang 0.5 peratus daripada pendapatan mereka kepada yayasan itu setiap tahun untuk mempromosi sukan dan pendidikan.

Essa Al Mannai yang juga pengarah Reach Out to Asia pula berkata, program itu menyasarkan 162,000 kanak-kanak di Bangladesah, 100,000 di Indonesia termasuk yang kurang upaya dan 265,000 di Nepal.

Tags / Kata Kunci: Lionel Messi , Serena Williams , Unicef

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan