Cabaran Golf TSM, Platform Pilih Wakil Malaysia Ke Olimpik

Diterbitkan: Jumaat, 31 Oktober 2014 4:48 PM

Mohd Effendi (tengah) berbicara mengenai perlawanan golf tahunan TSM Charity Golf Challenge 2014 yang bakal berlangsung pada 4 hingga 7 Disember depan di Glenmarie Golf and Country Club Shah Alam pada satu sidang media di Wisma BERNAMA, Kuala Lumpur pada Jumaat. - fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin (TSM) 2014 perlu dijadikan platform oleh pemain golf amatur tempatan bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran, tetapi juga untuk menyerlahkan bakat mereka agar terpilih menyertai pasukan negara dalam Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. 

Presiden Golf Amal TSM Tan Sri Effendi Norwawi berkata pemain golf amatur perlu menjadikan kejohanan ini peluang untuk mempamerkan bakat mereka memandangkan golf akan kembali disenaraikan sebagai acara Olimpik selepas 112 tahun.

"Golf Amal TSM berhasrat agar dapat menghasilkan pemain yang benar-benar bertaraf dunia dan kami dapat menghasilkan beberapa pemain cemerlang bagi temasya Olimpik 2016," katanya pada sidang akhbar di Wisma Bernama, di sini, Jumaat.

Cabaran Golf TSM menawarkan hadiah RM50,000 bagi pemenang dalam kategori lelaki, dan RM40,000 bagi kategori wanita sebagai tajaan untuk mengikuti latihan di akademi golf yang diiktiraf, selain pendedahan dalam pelbagai kejohanan golf.

Sementara itu, Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor percaya Cabaran Golf TSM dapat menjadi acara untuk mencari 'Malaysian Tiger' dalam golf. 

Beliau berkata sejumlah 80 pemain golf muda bawah 21 tahun terpilih untuk menyertai kejohanan ini berdasarkan mata merit dan kedudukan dalam ranking Golf Amatur Dunia.
 
"Mata merit dikumpul melalui 13 kejohanan amatur 'Road to TSM Golf Challenge', termasuk Kejohanan Terbuka Amatur Malaysia ke-112, dan akhirnya MGA mengenal pasti 50 lelaki serta 30 wanita," katanya.

Anwar berkata Cabaran Golf TSM dianggap sebagai kejohanan unggul bagi pemain amatur berikutan biasiswa yang diberi kepada juaranya.

Kejohanan empat hari itu akan bermula pada 4 Dis di Glenmarie Golf and Country Club di Shah Alam, Selangor, dengan menawarkan hadiah keseluruhan RM180,000.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan