Gagal Ujian Doping, Kementerian Kaji Rawatan Dalam Kursus Atlet

Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 7:53 AM

Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan sedang menjalankan siasatan terhadap rawatan yang diterima oleh atlet negara yang gagal ujian doping. 

Menterinya Khairy Jamaluddin bagaimanapun enggan mendedahkan nama atlet sehingga pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa atlet itu positif dadah. 

"Kami telah mendapatkan nasihat pakar dan berbincang dengan pakar-pakar dadah untuk melihat apa yang boleh dilakukan sebagai langkah seterusnya. Kami masih mengumpul bukti," katanya. 

Khairy memberitahu The Star, Isnin, ketika diminta mengulas laporan dalam StarSport berhubung atlet negara yang telah gagal dalam ujian secara rawak yang dijalankan dalam kejohanan utama. 

Menteri itu berkata pertama kali beliau tahu mengenai perkara itu adalah pada 2 Oktober lalu apabila sebuah persekutuan antarabangsa memaklumkan kepada persatuan di sini mengenai atlet yang gagal ujian dadah. 

Khairy berkata bahan yang diharamkan yang terdapat di dalam Sampel A yang diambil biasanya digunakan untuk pemulihan seseorang atlet. 

Setelah dimaklumkan, beliau segera membentuk 'team ad hoc' untuk menyiasat perkara itu.

Pasukan itu diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz. 

"Pasukan itu meneliti butiran bahan yang telah diharamkan. Kami mahu tahu apakah dos yang digunakan untuk atlet atau bagaimana ia diberikan," kata Khairy.

"Kami juga melihat kronologi peristiwa yang berlaku sehingga ujian dadah dijalankan.

"Kami mengadakan mesyuarat dalaman dengan atlet. Kami ingin mengetahui apa yang telah ditetapkan oleh ISN dan apa yang telah dia ambil daripada doktor di ISN.

"Apabila kami menerima keputusan sampel A, kami diberitahu bahawa kami boleh meminta supaya sampel B diuji pada 17 Oktober... dan kami melakukannya. 

"Kami akan menghantar wakil untuk hadir ketika sampel B dibuka," katanya.

Khairy, bagaimanapun berkata persekutuan antarabangsa masih tidak memberi respons kepada persatuan nasional tentang bila tarikh sampel B akan diuji.

Beliau menjelaskan bahawa jika sampel B ternyata negatif, atlet itu adalah bersih dadah.

Jika positif, maka persekutuan antarabangsa akan memaklumkan hasilnya kepada persatuan kebangsaan.

Badan dunia itu juga akan membentuk sebuah jawatankuasa disiplin untuk meneliti kes itu.

Khairy berkata dalam menangani kes ini, beliau berpandukan kepada dua prinsip iaitu komitmennya terhadap Anti-Doping dan tanggungjawabnya untuk melindungi kepentingan para atlet.

"Komitmen Malaysia ialah untuk mematuhi kod dadah dan mengamalkan toleransi sifar mengenai kawalan penggunaan dadah," katanya. 

"Pada masa yang sama, saya harus melindungi hak-hak atlet kita. Seperti kes-kes lain, kita akan menangani perkara ini secara halus dan berhati-hati."

Ini adalah kes doping kedua di Malaysia dalam tempoh sebulan.

Atlet Wushu Tai Cheau Xuen telah dilucutkan pingat emas di Sukan Asia di Incheon bulan lalu setelah positif perangsang sibutramine.
Tags / Kata Kunci: ujian doping , Khairy Jamaluddin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan