Para Asia: Azlan Terus Cemerlang, Malaysia Kuasai Podium

Diterbitkan: Selasa, 21 Oktober 2014 10:33 PM

Pelari pecut paralimpik negara, Mohammad Azlan Mat Lazin (no 559) bersama Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (no 560) meraikan kejayaan selepas berjaya menduduki tempat 1 dan 2 dalam acara 100m lelaki T36 pada temasya Sukan Para Asian 2014 di Asiad Main Stadium di Incheon pada Selasa. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

INCHEON: Malaysia terus mempamerkan prestasi cemerlang apabila mendominasi podium bagi acara 200m Lelaki T36 di Stadium Utama Asiad Incheon di sini Selasa.

Pingat emas acara itu diraih Mohammad Azlan Mat Lazin dengan catatan 26.26 saat manakala dengan hanya perbezaan 0.01s, perak pula menjadi milik Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

Seorang lagi atlet negara, Mohd Raduan Emeari meraih gangsa dengan masa 26.66s.

Ketua jurulatih olahraga negara, R. Jeganathan berkata kemenangan itu sangat bermakna buatnya dan para atlet, terutamanya Mohammad Azlan yang sehingga kini sudah menghadiahkan dua pingat emas kepada negara.

"Azlan sebenarnya mengalami kecederaan. Kita sudah panggil doktor tadi dan doktor nasihatkan dia untuk berehat sekejap tapi dia mahu teruskan. Jadi saya bagi tahu dia, dia perlu mulakan larian dengan perlahan terlebih dahulu.

"Selepas 150m, baru mula pecut...dan strategi itu ternyata berkesan. Azlan menang pingat emas walaupun cedera," katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.

Emas pertama milik Mohd Azlan adalah menerusi acara 100m lelaki T36, yang diraihnya pada Isnin.

Jeganathan berkata, Mohd Azlan sangat bermotivasi untuk meraih emas ketiganya menerusi acara 400m Lelaki T36, pada Rabu.

"Selepas Sukan Para Asean di Naypyitaw, Myanmar awal tahun ini, dia memang sudah pasang niat untuk membolot tiga emas. Setiap pagi sebelum latihan, dia akan cakap dia mahu tiga emas," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan