Kejohanan Futsal FGIS Kukuhkan Semangat Perpaduan

Diterbitkan: Ahad, 19 Oktober 2014 8:30 PM

Wakil-wakil kumpulan agama Malaysia (barisan pertama berdiri) bergambar bersama sebahagian daripada peserta Kejohanan Futsal FGIS.

(Ubah saiz teks)

KUMPULAN  Persahabatan bagi Perkhidmatan Antara Agama (FGIS) membuktikan bahawa tanpa hadiah wang tunai, kejohanan futsal yang dianjurkan pada Ahad telah berlangsung dengan jayanya.

Kejohanan tersebut berjaya menarik lebih seratus peserta berusia 18 hingga 35 tahun dengan menyaksikan setiap pasukan diwakili oleh peserta pelbagai kaum.

Pengasas dan penasihat FGIS, Datuk J.Jegathesan  berkata beliau amat teruja dengan semangat yang ditonjolkan oleh golongan belia ini.

“Mereka bermain dalam satu pasukan dan bukannya satu agama.

“Ia bukan sekadar perlawanan futsal, tetapi apa yang lebih penting adalah hubungan erat antara kaum merupakan objektif utama kami. 

"Malah dalam masa yang sama, mereka diterap dengan budaya positif iaitu bersukan bukan kerana wang ringgit,” jelasnya kepada mStar online selepas penyampaian pingat kepada semua peserta.

Jegathesan berkata, walaupun baharu kali pertama dianjurkan, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan FGIS bercadang akan menjadikan aktiviti ini sebagai program tahunan.

“Kami juga merancang untuk mengadakan program ini di setiap negeri sebelum ke peringkat kebangsaan. Bagi saya ia merupakan  salah satu landasan penting untuk mengukuhkan semangat perpaduan.

“Kita bukan sahaja melihat peserta-peserta dari pelbagai kaum menyertai perlawanan ini, malah wakil-wakil kumpulan agama Malaysia juga turut meluangkan masa hadir memberi sokongan. 

“Mereka (wakil kumpulan agama) ini sanggup mengetepikan seketika tugasan masing-masing untuk sama-sama menjayakan aktiviti perpaduan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jegathesan berkata, program-program berbentuk perpaduan seperti ini sepatutnya mendapat sokongan penuh daripada pihak media.

“Jelas sekali, aktiviti seperti ini jarang mendapat liputan kerana tidak ada sebarang ‘unsur’ politik atau isu panas.

“Saya percaya jika ada dua perkara itu, pasti semua media akan hadir,” jelasnya penuh bermakna.

FGIS ditubuhkan pada tahun 2001 merupakan sebuah organisasi yang berusaha untuk merapatkan perpaduan antara kaum dan agama di Malaysia.

Organisasi ini berperanan bekerjasama dengan agama-agama utama demi kebaikan negara.

FGIS terdiri daripada kumpulan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Buddhist Maha Vihara, Kumpulan Gereja-Gereja Malaysia, Malaysia Hindu Sangam dan Malaysian Gurdwaras Council (Sikh).

Kejohanan futsal ini mendapat sokongan daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta iM4U.

Pengarah Unit Penjenamaan iM4U, Efny Johan berkata, kejohanan ini mampu memupuk persefahaman yang lebih baik antara satu sama lain.

"Kami berharap kejohanan seperti ini dapat diadakan lebih kerap gar perpaduan sesama kaum dapat dieratkan. Belia juga dapat belajar toleransi dan menerima cara hidup rakan-rakan yang baru," jelasnya.

Tags / Kata Kunci: FGIS , J. Jegathesan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan