Tengku Abdullah Belum Umum Pengganti Presiden PHM

Diterbitkan: Isnin, 13 Oktober 2014 6:33 PM

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tidak mahu mempertahankan jawatan itu masih belum mengumumkan pengganti baginda.


Baginda bertitah baginda perlu menyelesaikan pindaan perlembagaan PHM terlebih dahulu sebelum meninggalkan jawatan.

"Saya berharap untuk mengumumkannya hari ini tetapi memandangkan ada perubahan, mungkin berlaku sedikit kelewatan. Saya menangguhkan pengumuman saya.

"Saya sudah tentu akan namakan orang yang perlu dipertimbangkan untuk mengambil alih jawatan saya tidak lama lagi," titah baginda.

Apabila dikatakan semua orang sudah tahu siapa pengganti baginda, baginda bertitah: "Bagus, mereka boleh tulis, mereka boleh bercakap, tetapi biar saya cari masa yang sesuai (untuk umum)".

Ditanya sama ada pemilihan akan ditangguhkan sehingga Januari tahun depan, Tengku Abdullah berharap ia tidak begitu.

"Saya harap tidak...tetapi kita mahu perlembagaan dululuskan dengan pihak berkuasa...suruhanjaya sukan, FIH (persekutuan hoki antarabangsa), kemudian kita akan tetapkan tarikh," titah baginda dan menambah mungkin berlaku pemanjangan masa tetapi PHM akan telitinya.

Presiden Persatuan Hoki Selangor Datuk Seri Subahan Kamal dilaporkan telah dikenal pasti sebagai pengganti baginda.

Dilaporkan baginda telah bercakap dengan Subahan yang dikatakan bersetuju untuk mengambil alih jawatan presiden.

Baginda mengambil alih jawatan presiden Persekutuan Hoki Asia pada 31 Ogos menggantikan Almarhum Sultan Azlan Shah.

Mengenai kedudukan Arul Selvaraj sebagai jurulatih kebangsaaan, Tengku Abdullah berpendapat jurulatih itu perlu kekal dengan pasukan remaja kerana "sasaran kita ialah untuk layak ke Piala Dunia Remaja".

Sementara itu sekiranya PHM tidak boleh mencari pengganti yang sesuai bagi pasukan kebangsaan, Arul yang telah melakukan tugas yang baik boleh melatih pasukan kebangsaan sehingga Liga Dunia pusingan kedua di Singapura pada Januari tahun depan.

"Kita akan menggunakan khidmatnya sehingga itu," titah baginda.

PHM mahu mencari jurulatih asing untuk pasukan kebangsaan dan Tengku Abdullah mengesahkan baginda mempunyai dua nama ketika ini.

Ditanya sama ada ia jurulatih dari Australia, baginda bertitah: "Boleh jadi. Kita bukakan pilihan".


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan