Feng Tawan Golf LPGA Malaysia 2014

Diterbitkan: Ahad, 12 Oktober 2014 6:34 PM

Feng Shanshan juara LPGA Malaysia yang berakhir, Ahad.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain China, Feng Shanshan melakukan lonjakan cemerlang pada pusingan akhir untuk merangkul gelaran keempat Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) pada Kejohanan Sime Darby LPGA Malaysia 2014 di sini, Ahad.


Feng, 25, yang ketinggalan empat pukulan daripada pendahulu semalaman, Pornanong Pathlum, berjaya memintas pemain Thailand itu apabila melakarkan lapan bawah par 63 pada pusingan akhir di Kelab Golf & Country Kuala Lumpur (KLGCC).

Feng menamatkan saingan dengan mengumpul 18 bawah par 266, sekali gus mengatasi Pornanong dengan kelebihan tiga pukulan di tempat kedua.

Atas kejayaan itu, Feng menerima trofi dan hadiah wang tunai US$300,000 (RM977,340) yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya bermain dengan baik sekali hari ini dengan lapan bawah par tanpa bogey. Pada sembilan lubang kedua, saya membenam enam bawah par dan ia merupakan titik tolak untuk melonjak ke tempat teratas," kata Feng.

Pada pusingan akhir, beliau memulakan saingan dengan dua birdie pada lubang keempat dan ketujuh sebelum bangkit dengan empat birdie berturut-turut mulai lubang ke-11 sebelum membenam 'eagle' pada par lima lubang ke-16.

Dalam pada itu, walaupun gagal mencapai kemenangan sulung dalam siri jelajah itu, Pornanong berkata beliau gembira dengan prestasinya dan berterima kasih kepada kedinya, yang juga abangnya, Pornpong, yang memastikan beliau tenang sepanjang kejohanan bernilai US$2 juta (RM6.53 juta) itu.

"Dia banyak membantu dan sentiasa membuatkan saya tenang dan kadang-kadang memberi tekanan supaya bermain dengan baik," kata pemain berusia 24 tahun itu.

Dalam usaha menyasarkan kemenangan pertamanya, Pornanong, yang memulakan pusingan akhir dengan kelebihan tiga pukulan, jatuh ke tangga kedua selepas melakukan bogey berganda pada lubang ke-15.

Bagaimanapun, beliau bangkit semula dengan pukulan birdie pada lubang berikutnya untuk menamatkan saingan dengan 15 bawah par 269 serta membawa pulang hadiah wang tunai US$184,703 (RM601,725), selaku naib juara.

Sementara itu, tiga pemain berkongsi tempat ketiga iaitu pemain Sweden, Pernilla Lindberg serta dua pemain Korea Selatan, Choi Chella dan Ryu So Yeon, dengan masing-masing mencatatkan 14 bawah par 270.

Pemain nombor satu dunia, Stacy Lewis dari Amerika Syarikat, yang mendahului pusingan pertama, menamatkan saingan di tempat ke-22 dengan keluruhan tujuh bawah par 277.

Juara bertahan Lexi Thompson dari Amerika Syarikat menduduki tempat ke-41 dengan jumlah 283 pukulan.

Michelle Koh dan Kelly Tan masing-masing muncul sebagai pemain terbaik Malaysia di tempat ke-49 dan 52 dengan jumlah pukulan 296.

Aretha Pan di tempat ke-69 (295 pukulan), Ainil Johani Abu Bakar di tempat ke-70 (296), Jean Chua di tempat ke-72 (309) dan Michelle Low di tempat ke-73 dengan 315 pukulan.

Kejohanan edisi kelima itu disertai oleh 75 pemain wanita terbaik dunia.


Tags / Kata Kunci: Feng Shanshan , LPGA Malaysia , Sime Darby

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan