Incheon Ucap 'Annyeonghi Gyeseyo', Jumpa Di Jakarta

Diterbitkan: Sabtu, 4 Oktober 2014 10:27 PM

-foto THE STAR/Izzrafiq Alias

(Ubah saiz teks)

INCHEON: 'Annyeonghi Gyeseyo' (Selamat Tinggal) Incheon 2014) dan Jumpa Lagi di Jakarta pada 2018', slogan yang bergema di akhir temasya Sukan Asia ke-17 di sini, malam Sabtu.

Selepas 16 hari Obor Sukan Asia 2014 akhirnya dipadamkan secara perlahan-lahan di Stadium Utama Asiad Incheon bagi menandakan temasya sukan kedua terbesar dunia akhirnya melabuhkan tirainya.

Pengerusi Majlis Olimpik Asia (OCA) Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah, menyempurnakan majlis penutupan dengan menyifatkan temasya Incheon sebagai telah membuka lembaran baharu dalam kehidupan.

Majlis penutupan berlangsung dalam suasana meriah dan penuh warna-warni, diselangi dengan persembahan kebudayaan, nyanyian oleh kumpulan koir dan bintang sensasi 'Bigbang' dan pertunjukkan bunga api.

Persembahan lagu membawa mesej keamanan dan penghargaan sahabat Asia oleh Koir Rainbow memulakan acara penutup diikuti dengan persembahan kebudayaan dalam bentuk tarian dan pelbagai rentak pukulan gendang.

Ia disusuli dengan paparan video mengimbau kisah suka duka atlet dalam memburu kejayaan serta gelagat penonton semasa temasya sukan yang disertai oleh 13,000 atlet dan pegawai dari 45 negara itu.

Selepas persembahaan kebudayaan tersebut, perbarisan bendera negara-negara dibawa oleh pemenang emas kontinjen tuan rumah serentak dengan nyanyian lagu kebangsaan Korea oleh penyanyi soprano, Im Sunhae.

Di tengah-tengah persembahan gendang oleh Serotonin Drum Club, pembawa bendera negara-negara bertanding serta pembawa plakad negara bergaul mesra di tengah-tengah padang bersama atlet dari pelbagai negara.

Kontinjen negara dengan berpakaian 'Wira Malaysia' turut turun padang dengan diketuai oleh ketua kontinjen negara, Datuk Daniyal Balagopal Abdullah.

Temasya kali ini menyaksikan Malaysia gagal mencapai sasaran lapan pingat emas dan hanya berpuas hati dengan pungutan lima emas, 14 perak dan 14 pingat gangsa, sekali gus menduduki tangga ke-14.

Pada edisi lepas di Guangzhou, China, pada 2010, kontinjen negara menduduki tangga ke-10 keseluruhan dengan sembilan emas, 18 perak dan 14 pingat gangsa.

Selepas ucapan pengerusi OCA itu, bendera OCA, bendera Sukan Asia dan obor sukan diserahkan kepada Presiden Majlis Olimpik Indonesia, Rita Subowo dan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaya Purnama, selaku penganjur Sukan Asia edisi 2018.

Indonesia, selaku tuan rumah akan datang, menampilkan persembahan kebudayaan iaitu tarian Ronggeng, diikuti tarian Palembang Darussalam bertema ' Semangat Sumatera Selatan'.
Ia diakhiri dengan tarian 'Pusparagam Rampak' iaitu simbol keharmonian dan perpaduan.

China muncul juara keseluruhan temasya sukan Incheon dengan mengumpul 151 pingat emas, 108 perak dan 83 gangsa, diikuti Korea Selatan dengan 79-71-84 manakala Jepun menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 47-76-77 pingat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan