Sukan Asia: Skuad Takraw Gagal Atasi Thailand

Diterbitkan: Jumaat, 26 September 2014 3:44 PM

(Ubah saiz teks)

INCHEON: Seperti yang diramalkan, skuad sepak takraw lelaki negara gagal untuk mengatasi musuh tradisi, Thailand apabila anak didik jurulatih Jamaluddin Hassan tewas 2-0 pada saingan peringkat separuh akhir, Temasya Sukan Asia ke-17 yang berlangsung di Bucheon Gymnasium dekat sini Jumaat.

Kegagalan itu sekali gus mengundang kekecewaan kepada peminat sukan sepak takraw negara yang menanti kemarau selama 24 tahun pingat emas negara apabila kali terakhir dimenangi Malaysia pada edisi Beijing, China pada tahun 1990.

Pasukan sepak takraw lelaki negara gagal mempertahankan pingat perak yang dimenangi pada Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, china apabila secara tidak rasmi hanya meraih pingat gangsa pada edisi kali ini.

Skuad sepak takraw lelaki negara gagal beraksi baik sejak awal saingan hari ini apabila regu pertama negara yang dibarisi Mohd Zamree Mohd Dahan, Mohammad Syahir Mohd Rosdi dan Mohd Syazreenqama Salehan tumpas 2-0 dengan mata 21-16, 21-10 kepada regu Thailand, Chaichana Anuwat/Khamchan Sittipong/Yupadee Pattarapong dalam masa 41 minit.

Usaha regu kedua negara untuk menyamakan kedudukan pada perlawanan kedua tidak menjadi apabila Mohamad Fadzli Muhammad Roslan (Ahmad Aizat Mohd Nor Azmi)/Izurin Refin/Mohd Muqlis Borhan gagal menyekat kepantasan regu Thailand, Aokaew Pornchai/Sakha Siriwat/Peachan Suriyan apabila kalah 2-0 dengan mata 21-14, 21-11 dalam masa 39 minit.

Jurulatih negara, Jamaluddin Hassan berkata pemainnya telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengatasi pasukan 'Gajah Putih' itu namun Thailand mempunyai banyak kelebihan terutama dari segi Sepak mula (Servis) dan ketika membuat rejaman.

Mengulas perlawanan hari ini, Jamaluddin berkata beliau kurang berpuas hati dengan sepak mula yang dilakukan tekong pertama, Mohd Syazreenqama Salehan yang membuka banyak peluang kepada Thailand yang mengutip lapan mata akibat daripada kesilapan yang dibuat olehnya.

"Itu masalah besar yang perlu segera kita atasi sebelum acara antara regu bermula dan kita tidak mempunyai banyak masa iaitu dalam masa tiga hari sahaja sebelum bertemu Korea Selatan pada Isnin ini," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau turut meluahkan kekecewaan ke atas regu kedua negara yang masih sering melakukan kesilapan apabila banyak kali bola kandas dan gagal membuat rejaman yang baik sehingga membuka peluang mudah bagi lawan untuk mencuri mata.

Jamaluddin berkata tumpuan beliau selepas ini adalah bagi memperkemaskan pemain antara regu bagi menghadapi saingan peringkat kumpulan B bersama Korea Selatan, Brunei, India dan Nepal.

"Kalau boleh kita perlu berusaha untuk menjadi juara kumpulan B bagi mengelak daripada bertemu Thailand pada peringkat separuh akhir nanti," katanya.

Beliau berkata sekiranya berjaya menjadi juara peringkat kumpulan B, Malaysia mempunyai peluang cerah untuk mara ke final.

"Saya rasa kita tidak akan berdepan dengan banyak masalah jika berjumpa Myanmar pada aksi separuh akhir nanti dan peluang untuk meraih pingat emas atau gangsa akan menjadi lebih mudah,"katanya.

Pada aksi pembuka tirai acara tersebut pada Isnin ini, Malaysia dijadual beraksi menentang Korea Selatan dalam misi memburu mata pertama.

Sebagai rekod, kali terakhir pasukan antara regu negara meraih pingat emas di Sukan Asia adalah pada edisi Hiroshima, Jepun pada tahun 1994 sebelum Thailand mula mendominasi acara tersebut empat kali berturut-turut bermula Sukan Asia, Bangkok, Thailand pada tahun 1998 diikuti dengan edisi Busan, Korea Selatan 2002, edisi Doha di Qatar pada 2006 dan Guangzhou, China, empat tahun lepas.


Tags / Kata Kunci: Takraw , Incheon , Sukan Asia

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan