ISN Bukan Pusat Urut Atlet - KJ

Diterbitkan: Khamis, 18 September 2014 4:43 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) perlu dilihat sebagai institusi yang menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan sains sukan kepada atlet negara dan bukan sekadar 'pusat urut' untuk atlet.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata kebanyakan persatuan sukan kebangsaan kini lebih cenderung melihat ISN sebagai pusat rujukan terakhir untuk mendapatkan rawatan bagi atlet mereka yang mengalami kecederaan.

"Ada persatuan sukan yang masih lagi menganggap ISN sebagai pusat urut sahaja. Bila (atlet) cedera, mereka akan pergi ke ISN, bila sakit baharu hendak cari ISN.

"ISN lebih daripada klinik kepada atlet kita. ISN adalah permulaan segala-segalanya bagi sukan (di negara) kita. Kalau pembangunan sukan kita dibuat dengan cara yang tidak sistematik, maka kita tidak akan sampai ke puncak kejayaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Pelan Strategik Institut Sukan Negara (ISN) 2015-2025 di Dewan Perdana ISN di sini, Khamis.

Khairy berkata negara yang berjaya di peringkat antarabangsa menjadikan aspek sains sukan sebagai ramuan untuk para atlet mereka menikmati kejayaan.

"Sebab mereka tahu juara di peringkat dunia dengan jaguh kampung. Perbezaannya bukan sahaja bakat, dedikasi tetapi juga penerapan pembangunan saintifik, barulah negara itu dapat sepenuhnya daripada atlet mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa persatuan sukan kebangsaan supaya menjadikan aspek sains sukan sebagai budaya dalam kalangan atlet masing-masing supaya dapat menikmati kejayaan ketika menyertai kejohanan.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Khairy memuji ISN yang mengeluarkan pelan strategik untuk jangka panjang bagi memacu sukan negara ke arah yang lebih cemerlang.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata mereka akan mendapatkan maklum balas mengenai pelan berkenaan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan dalam sukan negara sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada 2015.

"Ini pertama kali kita merangka pelan strategik yang bukan sahaja mengambil kira asas-asas yang kita buat. Kita kena melihat kepada Dasar Sukan Negara selain pelan strategik Kementerian Belia dan Sukan.

"Dari segi amalan dan kerja kita, kita tahu apa kekuatan dan kelemahan sukan negara supaya kita boleh memainkan peranan yang lebih aktif," kata Ramlan.

Pelan 10 tahun itu lebih kepada menentukan hala tuju strategik ISN bagi jangka panjang, selari dengan Agenda Transformasi ISN yang mendokong visi dan teras strategik sukan negara.

Menerusi pelan berkenaan, ISN telah merangka lima teras strategik utama serta dua teras strategik sokongan ISN iaitu Prestasi Tinggi, Pembangunan Bakat Sukan Akar Umbi, Penyelidikan dan Inovasi Sukan, Pendidikan dan Pensijilan Lanjutan Sukan dan Prestasi Tulen Tanpa Doping.

Teras strategik sokongan ISN melibatkan jalinan kerjasama pintar dan strategik serta Pembangunan Kapasiti Organisasi dan Budaya Kerja.



Tags / Kata Kunci: ISN , KJ , Belia dan Sukan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan