Arul Yakin Mampu Kembalikan Maruah Hoki Negara

Diterbitkan: Jumaat, 15 Ogos 2014 7:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya diberi tempoh yang singkat namum ketua jurulatih baharu skuad hoki negara, Arul Selvaraj yakin beliau dapat menebus maruah pasukan Malaysia pada Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan,bulan depan.

Menerima cabaran itu dengan penuh tenang, keutamaan jurulatih berusia 40 tahun itu ketika ini adalah usaha membangkitkan semangat juang dan menyatukan emosi para pemain dengan perlawanan.

"Setiap orang ada emosi berlainan tetapi bila pemain sudah turun padang, mereka harus satukan emosi mereka dan inilah yang akan membakar semangat mereka", katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas wawancara program 'Bernama Today' terbitan Bernama TV pada Jumaat.

Biarpun tanggungjawab diserahkan kepadanya dalam waktu yang singkat dengan sasaran membawa pasukan ke pentas final, Arul tidak mengganggap tugas membimbing skuad kebangsaan sebagai kerja yang berat.

Arul dilantik sebagai ketua jurulatih sementara selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) merehatkan Muhammad Dharma Raj Abdullah berikutan prestasi hambar skuad negara pada temasya Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland dan juga Piala Dunia di The Hague, Belanda, baru-baru ini.

Arul, yang sebelum ini menjadi pembantu kepada ketua jurulatih dari Afrika Selatan, Paul Revington, berkata pengalamannya dengan skuad senior sebelum ini membolehkan beliau menerima cabaran ini dengan penuh tenang.

Selepas Revington meninggalkan pasukan senior awal tahun ini, MHC melantik Dharma Raj sebagai ketua jurulatih manakala Arul diberi tanggungjawab membimbing skuad 'Projek 2016'.

"Saya mengenali 19 daripada 20 pemain, jadi ia akan melancarkan sedikit kerja saya. Saya tahu tahap kekuatan mereka dan mereka mengenali cara saya.

"Memang saya akan memberi tumpuan untuk menterjemahkan seluruh potensi pemain kepada kejayaan di Sukan Asia nanti," kata jurulatih yang cukup tenang itu.

Bagaimanapun, Arul berkata dirinya memerlukan sedikit masa untuk melakukan perubahan drastik dalam permainan hoki secara keseluruhanya.

Sementara itu, beliau meminta semua pemain veteran meluangkan masa sekurang-sekurangnya sejam dalam seminggu untuk berkongsi pengalaman serta teknik mereka bersama pemain muda.

Ditanya apa yang sedang bermain dalam fikirannya ketika ini, Arul berkata: "Matlamat saya sekarang ialah bawa balik pingat emas dari Incheon serta tiket ke Sukan Olimpik 2016 di Brazil".

Dalam sejarah Sukan Asia, skuad hoki negara belum pernah meraih pingat emas dan pencapaian terbaik ialah pingat perak pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China apabila Malaysia tewas 2-0 kepada Pakistan di final.

Sukan Asia di Incheon akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

Tags / Kata Kunci: hoki , Arul Selvaraj , mhc

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan