Perahu Layar: Jeremy Intai Emas Di Sukan Asia 2014

Diterbitkan: Ahad, 10 Ogos 2014 10:27 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Pelayar negara Jeremy Koo yakin mampu membawa pulang pingat emas bagi acara perahu layar pada temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan yang dijadual berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

Beliau berkata ini berdasarkan prestasi semasa yang ditunjukkan semua kru dalam beberapa siri kejohanan bertaraf dunia sebelum ini, termasuk pencapaian terbaharu menjuarai Liga Layar Malaysia (LLM) yang berlangsung di Pusat Maritim Putrajaya.

Jurumudi berusia 33 tahun itu, yang mewakili pasukan pelayaran Sime Darby Foundation-KRT muncul juara selepas mencipta kemenangan 2-1 ke atas pencabar utama iaitu TLDM Match Racing Team, yang dikendali Mohd Masyuri Rahmat pada aksi final pada Ahad.

Jeremy berkata saingan di peringkat Sukan Asia pasti mencabar namun beliau mempunyai strategi sendiri untuk mengatasi kuasa besar dalam acara perahu layar iaitu Korea Selatan, Jepun, Singapura dan India.

"Saya pasti akan mengekalkan kru sedia ada kerana kami telah lama bersama sejak dari kecil lagi dan saling mengenali antara satu sama lain serta boleh  dikatakan sebagai sebuah keluarga," katanya selepas mengakhiri cabaran Kejohanan LLM.

Beliau berkata pasukannya dijadual bertolak ke Incheon pada 16 September bagi menjalani latihan penyesuaian. 

Mengulas LLM 2014, Jeremy berkata kejohanan itu agak mencabar terutama dari segi faktor angin yang tidak menentu kerana tasik di mana perlumbaan berlangsung terletak di tengah-tengah lingkungan deretan bangunan.

Katanya, pencabar utama dalam kejohanan itu ialah TLDM Match Racing Team yang memberi saingan sengit pada pusingan akhir ini.

Dengan kejayaan itu, Jeremy dan pasukannya akan mewakili negara ke kejohanan berprestij Piala Monsun, yang berlangsung hujung tahun ini di Pulau Duyung, Terengganu.Edisi LLM 2014 akan berlangsung di lapan lokasi iaitu Pulau Langkawi, Kedah; Lumut, Perak; Pulau Indah, Selangor; Putrajaya; Port Dickson, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Duyong, Terengganu dan Danga Bay, Johor.

Sime Darby Foundation-KRT selaku juara membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6,000 manakala TLDM Match Racing Team menerima RM4,000 dan penyandang tempat ketiga iaitu MYA/MSN mendapat RM3,000.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan