Sukan Komanwel: Zolkples Optimis Sasaran Pingat Mampu Dicapai

Diterbitkan: Ahad, 27 Julai 2014 4:12 PM

Zolkples Embong.

(Ubah saiz teks)

GLASGOW: Biarpun baru memenangi satu pingat emas, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong yakin kontinjen Malaysia mampu merealisasikan sasaran tujuh pingat emas.

"Walaupun sudah tiga hari acara-acara Sukan Komanwel dipertandingkan, kita (kontinjen Malaysia) masih ada peluang untuk mencapai sasaran itu. Kita masih ada lapan hari di sini," katanya kepada Bernama.

Katanya, sasaran pingat yang dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan dipersetujui oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan MSN adalah sasaran realistik.

Zolkples berkata, sasaran itu berdasarkan kesesuaian keadaan dan mengambil kira beberapa aspek termasuk ketiadaan beberapa sukan yang tidak dipertandingkan.

"Kita perlu berfikiran positif dalam soal ini dan tidak membuat spekulasi awal," kata Zolkples.

Pada Sabtu, Malaysia memperoleh pingat emas pertama negara melalui Mohd Hafifi Mansor dalam acara angkat berat 69kg lelaki.

Ini menjadikan Malaysia setakat ini mengumpul satu pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.

Pingat perak Malaysia diperoleh menerusi Mohd Zulhelmi Pisol (angkat berat) dan Wong Poh San (gimnastik berirama).

"Kita sebenarnya berpeluang memperoleh pingat emas melalui acara gimnastik berirama (semalam) kerana dilaporkan wujud penjurian yang berat sebelah.

"Pada awalnya acara gimnastik berirama juga menjadi sandaran pingat emas kita, bagaimanapun saya berpuas hati dengan persembahan mereka di sini. Ini adalah pencapaian terbaik dalam penampilan pertama mereka di Sukan Komanwel," kata Zolkples.

Dalam perkembangan lain, skuad ping pong wanita mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Australia 3-1 dan akan bertemu juara bertahan, Singapura pada Ahad.

Tags / Kata Kunci: Zolkples Embong , Sukan Komanwel

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan