Juara Bertahan Sertai Kejohanan Boling Terbuka Malaysia

Diterbitkan: Rabu, 30 April 2014 9:31 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Shayna Ng dari Singapura ialah antara pemain ternama yang mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia edisi ke-37 di Sunway Pyramid mulai Jumaat ini hingga 10 Mei.

Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC) dalam kenyataan di sini, hari ini menyatakan selain Ng, yang merangkul kejuaraan wanita tahun lepas, pemain lain yang bakal berentap ialah rakan sepasukannya Jazreel Tan, Lisa Del Rosario (Filipina) dan Sharon Limansantoso dari Indonesia.

Pemain lain yang akan beraksi ialah Dominic Barrett dari England, Sam Cooley dan Andrew Frawely (Australia) dan Jeong Tae-Hwa (Korea Selatan), Biboy Rivera (Filipina) dan Ryan Lalisang (Indonesia) dalam kategori lelaki.

Seramai 400 pemain akan bertarung dalam sembilan kategori - terbuka lelaki dan wanita, gred lelaki dan wanita, terbuka remaja lelaki dan remaja perempuan, gred remaja lelaki dan remaja perempuan, dan master senior untuk merebut hadiah berjumlah RM355,200.

Dalam pada itu, ketua jurulatih kebangsaan Holloway Cheah menjangka Zulmazran Zulkifli (juara 2012) dan pendatang baharu Timmy Tan dari skuad pelapis akan menjadi pencabar utama dalam memburu kejuaraan lelaki manakala Sin Li Jane, Esther Cheah dan Shalin Zulkifli memberi saingan sengit dalam kategori wanita.

"Bagaimanapun, dalam skuad Malaysia, sesiapa sahaja sama ada dari skuad elit atau pelapis berupaya membuat kejutan.

"Saya juga menjangka semua pemain akan membaiki pencapaian kerana ia sebahagian daripada persiapan bagi Sukan Asia dan menempah tempat dalam skuad," kata beliau.

Cheah berkata pemain kebangsaan akan bertanding pada kejohanan Euro-Med Filipina di Manila, dua hari selepas kejohanan itu berakhir selain di Terbuka Singapura pada bulan depan.

Jurulatih berusia 74 tahun itu berkata beliau akan membuat pemilihan bagi skuad akhir ke Sukan Asia pada September ini selepas Terbuka Singapura sebelum jawatankuasa pengurusan membuat keputusan muktamad.

Skuad kebangsaan juga akan dibantu oleh jurulatih dari Amerika Syarikat John Frost yang akan berganding dengan Cheah bagi mempersiap pasukan Sukan Asia.


Tags / Kata Kunci: Singapura , Malaysia , Boling

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan