Piala Monsson 2014: MYA Perkenal Proses Pemilihan Baharu

Diterbitkan: Selasa, 22 April 2014 9:11 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Perahu Layar Malaysia (MYA) akan memperkenalkan proses pemilihan baharu bagi Piala Monsun 2014 menerusi Liga Layar Malaysia (LLM) yang akan berlangsung di Lumut, Perak pada Jumaat dan Sabtu ini.

Presidennya Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata wakil negara bagi Piala Monsun akan dipilih daripada kalangan pelayar yang menyertai LLM 2014 sebagai sebahagian daripada 'Pasukan Pilihan Malaysia'.

"Kami optimistik bahawa proses pemilihan baharu ini akan membawa banyak manfaat bukan sahaja ke arah meningkatkan standard sukan perahu layar di Malaysia malah mencungkil dan membangunkan bakat kalangan pelayar individu yang menyertai LLM," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya pelayar tidak semestinya dari pasukan yang dinobatkan sebagai juara LLM, dan pasukan yang menjuarai LLM masih kekal sebagai juara kejohanan dan layak menerima hadiah.

"Format pemilihan baharu ini diharap dapat terus memberi motivasi kepada setiap pelayar untuk memberi aksi terbaik semasa LLM. Mereka yang terpilih akan terus mengibarkan bendera Malaysia semasa perlumbaan Piala Monsun yang berprestij iaitu peringkat akhir bagi Alpari World Match Racing Tour," katanya.

Kamaruzzaman berkata jawatankuasa pemilihan baharu akan mengenal pasti pelayar kebangsaan yang berpotensi bagi sepanjang tahun dan menjelangnya final LLM bagi pelbagai posisi bot.

Anggota jawatankuasa itu terdiri daripada wakil MYA, Majlis Sukan Negara, Pengarah Perlumbaan Piala Monsun David Mills, Ketua Pengadil Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF) Gary Manuel dan Pengadil LLM Komander Malik Sulaiman.

Jawatankuasa itu akan mengumumkan pelayar yang terpilih bagi Pasukan Pilihan Malaysia, serentak dengan Juara LLM semasa pusingan akhir yang kedua di Johor.

Beliau berkata pasukan itu akan dilatih oleh jurulatih antarabangsa selain menghadiri bengkel pelayaran sebelum menyertai Piala Monsun, yang diadakan setiap tahun di Pulau Duyong, Terengganu.


Tags / Kata Kunci: MYA , Perahu Layar , LLM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan