Malaysia Tidak Berhasrat Anjur Sukan Asia 2019 - Khairy

Diterbitkan: Sabtu, 19 April 2014 10:02 PM

Khairy Jamaluddin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak bercadang menawarkan diri sebagai tuan rumah Sukan Asia 2019 memandangkan kos penganjurannya dianggarkan begitu tinggi, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau sebaliknya berkata pihak kementerian kini lebih memberi tumpuan terhadap persediaan Malaysia menganjurkan Sukan SEA 2017.

 
"Kita menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017 yang mana kos penganjurannya tidaklah setinggi Sukan Asia. Kabinet juga telah meluluskan penganjuran (Sukan SEA pada 2017)," katanya kepada pemberita selepas menyertai forum 'Memperkasa Profesional Muda' anjuran Biro Profesional Muda, Pemuda Umno di sini hari ini.

Khairy mengulas laporan media berhubung penarikan diri Vietnam daripada menganjurkan acara sukan itu atas faktor kos dan tentangan rakyatnya sendiri.

Vietnam sebelum ini memenangi bidaan untuk menganjurkan temasya sukan itu dengan menewaskan bidaan dari Surabaya dan Dubai.

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Sukan Asean tahun ini bagi memperinci bidaan bagi penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2034.

"Tahun depan kita akan buat keputusan sama ada kita akan membuat bidaan atau tidak. Dokumen bidaan perlu dihantar kepada (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) FIFA pada 2020," katanya.

Anggota gabungan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) yang menghadiri kongres tahunan badan induk itu dari 28 hingga 30 Mac lepas di Medan, Sumatera secara sebulat suara bersetuju dengan hasrat meneruskan bidaan berkenaan.

Usul mengenai bidaan itu dicadangkan buat julung kali pada Mesyuarat Menteri-menteri Sukan Asean di Laos pada Disember tahun lepas.

Dalam pada itu, Khairy berkata Biro Profesional Muda menjadi landasan untuk mendekati sekali gus meningkatkan sokongan profesional muda kepada parti.
 
"Selepas pilihan raya lepas, saya dapati kita kurang mendapat sokongan memuaskan dalam kalangan profesional muda yang kebanyakannya berada di kawasan bandar," katanya.

Melalui biro itu, Khairy berkata Pemuda Umno memberi perkhidmatan kepada golongan berkenaan melalui beberapa program tertentu untuk membantu mereka mencapai kejayaan dalam profesion masing-masing selain memberi penerangan tentang dasar kerajaan. 

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan