Ibrahim Omar Dilantik Penasihat Teknikal ACC - Sukan Ekstra | mStar

Ibrahim Omar Dilantik Penasihat Teknikal ACC

Diterbitkan: Rabu, 16 April 2014 4:29 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengarah Teknikal Le Tour de Langkawi 2014, Ibrahim Omar terpilih sebagai seorang daripada penasihat teknikal bagi kejohanan Konfederasi Berbasikal Asia 2014 (ACC 2014) ke-34 pada 21 Mei-1 Jun ini di Astana, Kazakhstan.

Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab berkata pemilihan Ibrahim adalah satu penghormatan besar kepada Malaysia, sekaligus membuktikan kepakaran teknikal dari negara ini sentiasa mendapat pengiktirafan daripada badan induk berbasikal di benua Asia.

"Secara peribadi, saya berasa sangat teruja dan berbangga kerana seorang lagi anak Malaysia terpilih membawa nama negara ini bagi membantu Kazakhstan. Tanggungjawab Ibrahim adalah berat dan perlukan penelitian yang rapi," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Abu Samah yang juga naib presiden ACC berkata antara tugas Ibrahim sepanjang kejohanan berkenaan adalah mencadang dan memeriksa laluan bagi setiap acara pertandingan termasuk acara lepas beramai-ramai elit lelaki.

Katanya masalah trek tidak timbul kerana Astana mempunyai sebuah velodrom tertutup yang bertaraf dunia, malahan Astana pernah menjadi tuan rumah kejohanan besar seperti Kejohanan Trek Sedunia.

"Selaku pengerusi Jawatankuasa Lebuhraya dan Trek Asia, saya percaya kehadiran Ibrahim pasti melegakan penganjur ACC 2014," katanya.

Abu Samah berkata beliau akan mengetuai jawatankuasa berkenaan untuk melakukan pemeriksaan rasmi ke atas semua gelanggang pertandingan, selewat-lewatnya awal Mei.

"Pelumba yang datang ke ACC 2014 nanti berhasrat untuk meraih seberapa banyak mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro (Brazil).Justeru itu, kita harus menyediakan venue pertandingan yang bertaraf dunia dan menepati spesifikasi keselamatan ditetapkan ACC dan UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa," katanya.

Abu Samah berkata Presiden UCI, Brian Cookson dan Penyelaras Hubungan Antarabangsa Persatuan Kebangsaan UCI James Carr akan hadir pada kejohanan berkenaan.

Tags / Kata Kunci: ACC , LTDL , UCI
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan